UMNO Ambil Tindakan Disiplin Ahli Sertai Himpunan Haram


KUALA LUMPUR - Umno akan mengambil tindakan disiplin ke atas anggota parti yang menyertai perhimpunan haram di ibu kota pada Sabtu, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pihaknya sedang meneliti rakaman perhimpunan tersebut bagi mengenal pasti anggota Umno yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 5 dan Gerakan Baju Merah, sebelum ia dibawa kepada Lembaga Disiplin Umno.

"Kita akan serahkan kepada ahli lembaga disiplin untuk buat keputusan dan apa yang mereka patut lakukan...sekarang kita akan lihat kesemua rakaman perhimpunan semalam dan teliti siapa yang ambil bahagian.

"Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku, saya sendiri pantau semalam dan dapati banyak perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Mega 2016 Bersepadu Perangi Aedes peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini Ahad.

Tambah Tengku Adnan, beliau turut kecewa dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyertai perhimpunan berkenaan.

"Saya pun tak faham, dulu cakap ini semua tak patut berlaku...saya rasa mereka ini angkuh dan terlalu kecewa, jadi percayalah pada qada dan qadar," katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum mengenal pasti nilai kerugian dan sedang meneliti kerosakan ke atas harta benda awam yang dilakukan pada perhimpunan tersebut.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata sehingga 12 Nov, sejumlah 7,833 kes denggi dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, peningkatan 569 kes berbanding 7,264 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Bagi jumlah kumulatif kematian denggi sehingga 12 November adalah 18 kematian, berbanding 32 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2015, iaitu menurun sebanyak 14 kematian," katanya.

Katanya kes dan kematian denggi di ibu kota yang dilaporkan sehingga 12 Nov menunjukkan Parlimen Bandar Tun Razak paling tinggi iaitu 1,095 kes dan empat kematian, diikuti Parlimen Segambut (899 kes, tiada kematian) dan Parlimen Setiawangsa (880 kes, dua kematian).

Sementara, beliau berkata Projek Perumahan PPR Kampung Baru Air Panas telah mengalami 10 episod wabak denggi tahun ini dengan 44 kes berbanding enam kali wabak pada tahun lepas dengan 48 kes demam denggi.

"Saya merayu kepada seluruh masyarakat khususnya warga kota supaya jaga kebersihan di persekitaran kediaman dalam memastikan bandar raya kita bersih, tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes dan kediaman tidak menjadi sumber merebaknya wabak denggi," katanya. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com