Turki Pecat 10,000 Penjawat Awam, Henti Operasi 15 Media


PIHAK pemerintah Turki dilapor telah memecat lagi 10,000 penjawat awam selain menutup operasi 15 buah syarikat media dan penyiaran tempatan.

Kesemua mereka dipecat kerana disyaki menyokong ulama Fethullah Gulen yang didakwa menjadi dalang di sebalik agenda rampasan kuasa yang gagal pada Julai lalu.

Setakat ini, sebanyak 160 syarikat media dilaporkan terpaksa menghentikan operasi mereka selepas Turki diisytiharkan darurat.

Lebih 240 orang awam terbunuh selepas sekumpulan tentera kerajaan mengambil alih kuasa di Ankara dan Istanbul pada 15 Julai lepas.

Susulan insiden itu, lebih 35,000 penjawat awam termasuk golongan profesional seperti ahli akademik, hakim, peguam dan doktor perubatan yang terlibat gerakan rampasan kuasa itu telah dipecat sepanjang tiga bulan ini.

Tindakan drastik yang dibuat kerajaan Turki itu mendapat tentangan pihak pembangkang yang menyifatkan ia menyalahi undang-undang serta kebebasan rakyat negara itu.

“Apa yang dilakukan kerajaan dan Presiden Tayyip Erdorgan adalah sangat bercanggah dengan kuasa undang-undang selain demokrasi negara,” tulis Sezgin Tanrikulu yang merupakan ahli parlimen dari parti pembangkang, Parti Republikan di laman mikro Twitter, baru-baru ini. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com