Tukang Urut Warga Thai Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati


ALOR SETAR – Seorang tukang urut wanita warganegara Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap Nutchanad Jongjaroen, 36, berasal dari Sukothai, Thailand.

“Pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan. Mahkamah ini berpendapat OKT (orang kena tuduh) bersalah dan disabitkan dengan pertuduhan,” katanya.

Nutchanad didakwa mengedar dadah methamphetamine seberat 1,453 gram, di Unit Pemeriksaan Penumpang Bas/Pejalan Kaki, Kompleks Imigresen, Bukit Kayu Hitam pada 12.40 tengah hari, 23 Julai 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh diwakili peguam Ai Cha Ran. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com