Tol Tak Naik Bukan Sebab Guan Eng, Tapi Kerana Subsidi Caj Tol Dalam Bajet 2017


KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk tidak menaikkan kadar tol di 12 lebuh raya pada tahun ini dan tahun depan kerana Bajet 2017 memperuntukkan amaun tertentu bagi subsidi caj tol, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau menegaskan keputusan itu dibuat bukan kerana desakan orang ramai seperti didakwa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Dalam Bajet 2017 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperuntukkan amaun tertentu bagi subsidi caj tol.

“Jika YAB Lim tidak keluar (Dewan Rakyat) lebih awal dan jika (anggota Parlimen) pembangkang tidak mencetuskan kekecohan dan keluar untuk mempamerkan plakad ketika ucapan bajet sedang dibacakan oleh YAB Perdana Menteri, mereka pasti ambil maklum tentang perkara 115 yang menyatakan RM10 bilion diperuntukkan untuk meringankan beban hidup rakyat Malaysia dengan subsidi bagi caj tol dinyatakan dengan jelas.

“YAB Lim dan pembangkang dinasihati untuk kekal duduk dalam dewan dan mengikuti serta memahami ucapan bajet sepenuhnya di masa depan untuk tidak membuat kesilapan sama seperti ini yang hanya memalukan diri mereka sendiri,” kata Fadillah dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Fadillah mencadangkan Lim mendapatkan petisyen daripada semua pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyokong dakwaannya bahawa semua ahli KWSP bersedia mengorbankan simpanan mereka untuk menjadikan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bebas tol, dan mula menjalankan petisyennya di Sabah dan Sarawak terlebih dahulu.

“Mulanya, YAB Lim mendakwa bahawa 14.55 juta ahli KWSP seluruh Malaysia ialah kroni. Kini beliau mahu mereka mengorbankan simpanan dan dividen di masa depan supaya pengguna jalan raya di pantai barat Malaysia tidak lagi perlu membayar tol di Lebuhraya Utara-Selatan,” katanya.

Fadillah berkata ketua menteri Pulau Pinang itu amat mementingkan diri sendiri apabila mencadangkan agar pencarum KWSP di Sabah, Sarawak dan pantai timur Semenanjung Malaysia yang tidak menggunakan PLUS untuk membuat pengorbanan itu.

Berhubung sejarah PLUS yang ‘menyedihkan” seperti didakwa LIM, Fadillah berkata PLUS dan konsesi tol lebuh raya lain di masa lalu telah distruktur semasa pentadbiran perdana menteri terdahulu, dan mencadangkan Lim memeriksa perkara itu dengan perdana menteri terdahulu.

“Kerajaan kita ketika ini berusaha untuk membetulkan masalah yang diwarisi daripada masa lalu ini. Pengambilalihan PLUS Highways Berhad pada 2011 merupakan satu contoh di mana caj tol lebuhraya Utara-Selatan tidak dinaikkan sejak 2005 dan manfaat daripada kutipan tol kini disalurkan kepada semua rakyat Malaysia dan pencarum KWSP, daripada hanya kepada kepentingan persendirian seperti di masa lalu,” katanya.

Pada 2011, kerajaan menswastakan PLUS Expressways Berhad untuk merasionalisasikan keseluruhan struktur tol bagi semua konsesi lebuh raya dalam Kumpulan PLUS dan untuk mencegah sebarang kenaikan kadar tol yang tidak perlu.

Sejak itu, 51 peratus daripadanya kini milik kerajaan dan 49 peratus oleh KWSP.

“Kerajaan kita terus berusaha melakukan yang terbaik untuk membetulkan isu lain yang diwarisi, yang turut termasuk menstruktur semula perjanjian-perjanjian Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) pada tahun 2012 untuk lebih adil kepada semua,” kata Fadillah. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com