Tol PLUS: Fadillah Sangkal Tuduhan Guan Eng


KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyangkal dakwaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa konon kerajaan hanya menjaga ‘kroni’ dengan membenarkan Lebuhraya Utara-Selatan untuk terus mengutip tol secara tidak munasabah.

Beliau berharap ketua menteri Pulau Pinang itu menghabiskan lebih banyak masa memahami keadaan sebenar dan bukannya mengeluarkan kenyataan populis yang tidak berasaskan kepada realiti, dan Lim juga tidak bertanggungjawab dengan melabelkan secara sembarangan semua pihak sebagai kroni.

Katanya pada 2011, kerajaan menswastakan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk merasionalkan keseluruhan struktur tol kesemua konsesi lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS serta untuk mengelak kenaikan tol yang tidak sepatutnya.

Fadillah berkata tiada satu pun saham syarikat konsesi itu kini dimiliki apa yang didakwa Lim sebagai ‘kroni’ persendirian, sebaliknya 51 peratus dimiliki kerajaan manakala 49 peratus dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Saya amat tidak percaya YAB Lim menganggap 14.55 juta pencarum KWSP sebagai ‘kroni’,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata pemilikan KWSP terhadap Lebuhraya PLUS membolehkan anggotanya menerima pulangan yang stabil setiap tahun daripada aset penjanaan tunai yang matang.

Fadillah berkata berikutan langkah itu tepat pada masanya untuk menswastakan PLUS, adalah perlu diambil perhatian bahawa tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan telah tidak dinaikkan sejak 11 tahun lepas, semenjak 2005.

“Malah, dengan pengenalan diskaun dan rebat tertentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kadar tol sebenar bagi Lebuhraya Utara-Selatan juga telah turun,” katanya.

Fadillah berkata Lim semalam, menuduh kerajaan Barisan Nasional hanya menjaga kroni untuk mengaut keuntungan yang besar daripada perbelanjaan 30 juta rakyat Malaysia dengan membenarkan Lebuhraya Utara-Selatan untuk terus mengutip tol dengan cara tidak munasabah.

Semalam, Lim juga dilaporkan menggesa kerajaan menghapuskan kutipan tol di Lebuhraya PLUS, dengan menyatakan syarikat konsesi itu telah mengaut keuntungan yang lebih berbanding kos pembinaan sebenar RM5.9 bilion.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata pada tahun lepas, Lim juga mencadangkan tol di lebuh raya PLUS dihapuskan dan menyarankan kutipan cukai jalan bagi membayar kos penyelenggaraan serta menaik taraf lebuh raya itu.

“Kutipan cukai jalan RM2.4 bilion setahun sahaja tidak mencukupi untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya PLUS, selain pembiayaan bagi 50,000 kilometer lebuh raya Persekutuan yang tanpa tol serta masih menyediakan peruntukan tahunan kepada negeri-negeri bagi jalan negeri,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan PLUS mencecah kira-kira RM1 bilion setahun untuk kos operasi, penyelenggaraan, pengawalseliaan dan perbelanjaan menaik taraf 986.5 kilometer sistem lebuh raya itu, dan berbilion ringgit lagi bagi melebarkan jalan kepada tiga atau empat lorong bagi mengurangkan kesesakan.

Katanya di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Kerajaan Persekutuan, berbilion ringgit diperuntukkan kepada kerajaan negeri bagi menyelenggara jalan negeri masing-masing.

“Ini termasuk kira-kira RM500 juta untuk Selangor tahun ini, manakala Pulau Pinang menerima RM94.4 juta pada 2014, RM101.5 juta (2015) dan RM107.6 juta untuk 2016 daripada kerajaan Persekutuan,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com