TMJ Tak Minat Jadi Presiden FAM Kerana Mentaliti Penyokong


KUALA LUMPUR – “Saya tidak berminat untuk menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kata Tunku Ismail, baginda juga tidak berminat untuk menjadi penaung FAM selepas melihat mentaliti pendokong dan penyokong sukan bola sepak di negara ini.

“Mentaliti orang-orang bola sepak dan penyokong di Malaysia serta pilihan mereka untuk kekal menafikan kenyataan adalah sebab kenapa saya tidak mahu berada dalam bulatan kegagalan ini,” kata baginda dalam satu kenyataan semalam.

Tunku Ismail dalam pada itu berkata, masalah dalam sukan bola sepak Malaysia kerana orang ramai suka mendengar dan membaca perkara yang ditulis di sebuah laman bola sepak tempatan.

Kata baginda, orang ramai membaca laman bola sepak tersebut tetapi tidak menyedari bahawa laman tersebut dikendalikan oleh individu yang tiada kena mengena dan tidak berkelayakan dalam sukan bola sepak.

Baginda yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata, masyarakat lebih suka membaca laman tersebut daripada membaca dan belajar daripada individu atau organisasi bola sepak yang telah berjaya.

“Malangnya di Malaysia, orang ramai masih meminta dan membaca kenyataan daripada ‘yang pernah melaluinya’. Tidak hairanlah tidak ada kemajuan dalam bola sepak kita.

“Ini kerana orang lebih berminat untuk melayan tong yang kosong. Kejahilan adalah kunci kepada kegagalan. Dan itulah apa yang benar-benar berlaku,” kata baginda. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com