Tindakan Terhadap Anggota PAS Yang Sertai Bersih 5 – Abdul Hadi


KUALA TERENGGANU – PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang didapati menyertai perhimpunan Bersih 5.0 di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu, kata Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata jika menerima aduan dan terbukti, anggota parti yang berkenaan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk tindakan.

“Jika ada aduan… parti tidak boleh bertindak sekiranya tiada aduan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anggota dan penyokong PAS yang akur keputusan parti dengan tidak hadir ke perhimpunan tersebut,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau juga mengulangi pendirian tegas PAS untuk menolak sebarang percubaan mana-mana pihak yang cuba mencetuskan sesuatu di luar sistem demokrasi.

“Kita tidak mahu (dalam) demonstrasi ini berlaku pertembungan yang merugikan rakyat. Ini sangat penting dan perlu diawasi,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com