Tiga Sayap Parti Ikrar Solidariti Terhadap UMNO


KUALA LUMPUR - Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno berikrar menyatakan kesetiaan dan solidariti terhadap parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, penyatuan dikalangan ahli parti di semua peringkat adalah perkara utama yang perlu diberi penekanan dalam memastikan kelangsungan Umno dalam politik negara.

“Perkara penting ialah mengenai kesetiaan dan ketaatan kepada parti dan pimpinan.

“Saya percaya penekanan tersebut adalah perasaan yang dikongsi bersama oleh setiap perwakilan...tahun ini kita lebih bersatu dan tak ada masalah dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian  Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2016 oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa malam.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau menghargai komitmen yang dinyatakan Ahmad Zahid untuk membantu memastikan peranan wanita dalam politik arus perdana sebagai keutamaan.

"Ini menjadi perjuangan Wanita Umno. Sudah tiba masanya Wanita yang berkelayakan diberikan tempat yang lebih, terutama sebagai calon PRU-14.

"Bila naib presiden yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden akan membantu memperjuangkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon Wanita yang layak, saya ucapkan terima kasih dan berharap apa yang dikatakan itu akan menjadi kenyataan," katanya.

Tambah Shahrizat, Wanita Umno juga akan terus menjadi benteng parti khususnya sebagai jentera pilihan raya yang digeruni pembangkang.

"Wanita sedia menjalankan tugas-tugas dengan penuh disiplin kerana percaya perjuangan kami suci untuk agama, bangsa dan negara," katanya.

Bagi Ketua Puteri Umno, Datuk  Mas Ermieyati Samsudin pula, beliau berharap ahli Umno di semua peringkat terus mendekati rakyat tanpa mengira bangsa.

“Puteri akan menyusun starategi khususnya bagi menjelaskan kekeliruan dan salah tanggapan orang ramai terhadap Umno.

“Selain itu kami juga mengharapkan kerjasama semua sayap Umno agar parti ini terus menjadi juara rakyat dan seterusnya menang dalam pilihan raya,” katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com