Tiga Pengarah Didakwa Pengubahan Wang Haram RM10.2 Juta

Kelihatan dua daripada tiga pengarah sebuah syarikat penerbitan buku dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen atas lapan pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM10.2 juta
SHAH ALAM - Tiga pengarah sebuah syarikat penerbitan buku dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini atas lapan pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM10.2 juta.

Wan Asri Wan Hassan, 44, Mohd Azizi Mahusin, 45, dan Muhammad Ghazali Abdul Majid, 40, dari syarikat Zilerie Global Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan dihadapan Hakim Rozilah Salleh dan Hakim Asmadi Hussin.

Di hadapan Rozilah, Wan Asri dan Mohd Azizi masing-masing menghadapi tiga dan satu pertuduhan sementara di hadapan Asmadi pula, Muhammad Ghazali menghadapi empat pertuduhan.

Wan Asri didakwa menerima wang berjumlah RM100,000 melalui cek milik Tetuan Alira & Co; wang berjumlah RM1.34 juta melalui lima keping cek atas nama Ri Bina Niaga dan wang berjumlah RM1.26 juta melalui lima keping cek atas nama Kunci Niaga.

Mohd Azizi didakwa menerima wang berjumlah RM1.25 juta melalui tiga keping cek milik Tetuan Alira & Co.

Sementara itu, Muhammad Ghazali didakwa melibatkan diri dalam transaksi yang membabitkan hasil daripada aktiviti haram iaitu memberi arahan dalam pemindahan wang ke dalam akaun Mega Solution Advertising berjumlah RM1.975 juta melalui empat keping cek dan ke akaun Mega Bina Resources berjumlah RM1.525 juta melalui lima keping cek.

Muhammad Ghazali juga didakwa menerima wang berjumlah RM540,000 melalui tiga keping cek dan memberi arahan dalam pemilikan wang syarikat Zilerie Global berjumlah RM2,243,125.20 di dalam akaun Malayan Banking milik Tetuan Alira & Co.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan di Malayan Banking Berhad, Tingkat Bawah, Aeon Mall Shah Alam, No: 1, Jalan Akuatik 13/64, Seksyen13 di sini, antara 17 Mac dan 15 Ogos lepas.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah membebaskan Wan Asri dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, Mohd Azizi dengan jaminan RM40,000 serta seorang penjamin dan Muhammad Ghazali dengan jaminan RM150,000 serta seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan.

Rozilah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya ketiga-tiga tertuduh dibicarakan bersama memandangkan kesemua kes melibatkan akaun dan saksi yang sama.

Beliau turut menetapkan 2 Dis depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Asnawi Abu Hanipah sementara Muhammad Ghazali serta Mohd Azizi diwakili peguam Mohd Hisham Mohd Nen dan Wan Asri diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

SPRM sebelum ini menahan ketiga-tiga tertuduh bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai hampir RM15 juta pada Ogos lepas.

Turut ditahan bagi membantu siasatan ialah Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Mustafha Abd Razak.

Pada 7 September lepas, Abdul Aziz dan Mustafha dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan pecah amanah dan bersubahat membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 juta.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah. -Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com