Tiada Kusrus Poligami Beramai-Ramai Di Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan negeri mahupun Majlis Agama Islam Kedah (Maik) tidak pernah menganjurkan kursus poligami secara Jama’ie atau nikah beramai-ramai, seperti diviralkan pihak tertentu.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, viral yang dikesan tersebar melalui aplikasi whatsapp adalah palsu dan sengaja dicipta untuk mempersendakan kerajaan negeri.

“Viral sama ada kerajaan negeri menyokong poligami di Kedah atau Maik dikatakan menganjurkan kursus poligami secara terbuka adalah tidak benar,” katanya.

Berdasarkan viral, Maik di katakan menganjurkan kursus poligami secara percuma dan terbuka kepada lelaki yang berhajat berkahwin kali kedua, selain dialu-alukan untuk membawa isteri masing-masing.

Menurutnya, Kedah tidak pernah mempromosi poligami walaupun ia dibenarkan dalam Islam, di mana undang-undang negara memperuntukkan hendaklah mendapat keizinan isteri dan kelulusan Mahkamah Syariah.

“Tidak dinafikan ramai pasangan ambil jalan pintas, elak bergaduh dengan isteri pertama dengan melangsungkan perkahwinan di negara jiran, khususnya di Satun dan Songkhla, Thailand. Walaupun perkahwinan itu mewujudkan kesan sampingan lain, seperti masalah mendaftar pengesahan semula perkahwinan dalam negara, ia tetap jadi pilihan,” katanya.


Beliau berkata, masalah berbangkit lain termasuk mendapatkan surat nikah, surat beranak anak, serta kesukaran anak memperoleh kad pengenalan.

“Ribuan kes anak tak sah taraf dilaporkan di negeri ini, di mana mereka terdiri daripada anak yang tidak memiliki surat beranak daripada pihak berkuasa, mereka dikategorikan sebagai bukan rakyat Malaysia dan juga bukan rakyat Thailand,” katanya.

Sehubungan itu, wujud cadangan agar ditubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji dan mencari penyelesaian kes terbabit melibatkan permohonan surat beranak, pengesahan perkahwinan di sempadan, serta isu berkaitan.

“Kita tidak mahu anak menjadi mangsa ekoran tiada surat beranak, kerana kanak-kanak itu tidak dapat memohon kad pengenalan atau melanjutkan pelajaran. Masa depan mereka gelap jika ibu bapa meninggal dunia dan terjebak pula dengan masalah sosial,” katanya.

Timbalan Speaker Dun Kedah, Datuk Azmi Che Husain turut mengesahkan kerajaan negeri tidak pernah peruntukkan sebarang dana anjurkan program seumpama.

“Kita ada sediakan kursus pra perkahwinan percuma kepada belia Kedah, selain anjurkan program Walimatulurus Perdana namun tiada peruntukan untuk kursus poligami beramai-ramai. Apa diviralkan itu melibatkan negeri lain,” katanya.

Katanya, kursus berkenaan disediakan di jabatan agama Islam negeri dan mereka yang berminat boleh mendapatkannya secara individu.

“Tiada kursus secara terbuka, seolah kerajaan negeri mahu galakkan orang berpoligami. Ia dibolehkan, namun kita tidak larang mahupun galakkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com