Terpaksa Kebumi Jenazah Dalam Gelap Di Kg Bukit, Sg Petani

Mohamad Radzi menunjukkan kawasan perkuburan yang tiada kemudahan lampu jalan.
SUNGAI PETANI - Masalah ketiadaan lampu jalan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, di sini menyebabkan keluarga waris berdepan kesukaran menguruskan majlis pengebumian di situ.

Penjaga Tanah Perkuburan, Mohamad Radzi Samsudin berkata, berikutan masalah itu, keluarga jenazah terpaksa menguruskan majlis pengebumian dalam keadaan gelap.

"Saya memohon jasa baik Tenaga Nasional Berhad (TNB) membantu meluluskan permohonan untuk memasang empat unit tiang lampu elektrik tanpa sebarang caj bagi memudahkan mengurus jenazah pada waktu malam.

"Sebelum ini, saya juga mewakili pihak lain sudah kemukakan surat permohonan kepada pihak TNB berhubung permohonan supaya mendapat pertimbangan yang sewajarnya demi kepentingan kariah masjid sekitar kawasan Sungai Pasir dan meluluskan kemudahan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB, namun belum menerima sebarang respons sehingga kini,” katanya, kelmarin.

Dalam pada itu, Mohamad Radzi juga meminta pihak berwajib terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membaik pulih segera jalan ke tanah perkuburan berkenaan yang rosak dan berlubang.

“Keadaan jalan yang tidak rata dan berlubang itu membahayakan pejalan kaki dan pengguna kenderaan terutama motosikal.

"Jalan ini merupakan laluan utama penduduk membawa jenazah ke kubur. Dengan pembaikan jalan berkenaan dapat memberi keselesaan kepada penduduk menyempurnakan jenazah ke tanah perkuburan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com