Telekung: Pakaian Solat Muslimah Nusantara


WANITA Islam diwajibkan menutup keseluruhan anggota badan mereka kecuali muka dan tapak tangan terutama ketika mendirikan solat.

Terdapat pelbagai pakaian menutup aurat digunakan wanita Islam ketika menunaikan Rukun Islam kedua itu, antaranya chador namaz yang banyak digunakan oleh wanita Islam di India dan di Iran.

Chador bermaksud baju labuh dan namaz bermaksud sembahyang. Chador namaz yang paling ringkas merupakan sehelai kain lebar dan labuh yang diselubungkan menutupi seluruh anggota badan wanita kecuali muka ketika bersembahyang.

Terdapat pelbagai jenis potongan chador namaz yang digunakan oleh wanita Islam di negara luar ketika bersembahyang.


Dalam konteks yang sama, wanita Islam di Asia Tenggara juga mempunyai sejenis rekaan pakaian yang digunakan khas ketika bersembahyang yang dikenali sebagai telekung.

Telekung merupakan pakaian yang menjadi identiti bagi wanita Islam Nusantara ketika bersolat dan mengerjakan ibadah haji serta umrah di Mekah. Ia merujuk kepada sejenis pakaian khusus digunakan untuk ibadah sembahyang yang direka sepasang.

Ia mempunyai dua bahagian, atas direka supaya dapat menutup keseluruhan bahagian kepala sehingga ke paras lutut, manakala bahagian bawah pula direka dalam bentuk kain labuh yang menutupi bahagian pinggang sehingga kaki.

Potongan telekung fleksibel ini amat bersesuaian dengan iklim alam Melayu yang panas dan lembab sepanjang tahun. Telekung yang digunakan untuk bersembahyang ini juga mempunyai sedikit jahitan kain tambahan di bahagian dagu untuk menutup bahagian dagu.

Potongan telekung nampak ringkas namun ia merupakan bahagian paling penting dalam rekaan telekung bagi memastikan semua anggota badan wanita ditutup sewaktu berdiri, rukuk, sujud dan ketika duduk dalam solat.

Dalam tradisi masyarakat Melayu yang merupakan majoriti umat Islam di Asia Tenggara, telekung yang digunakan berwarna putih kosong tanpa corak bagi melambangkan kebersihan fizikal seseorang ketika melakukan solat dan juga kesucian ibadah yang dilakukan.


Selain daripada warna, jenis kain juga diberi perhatian. Kebanyakan kain yang digunakan terdiri daripada bahan serap peluh dan tidak terlalu tebal.

Antara kain bersesuaian ialah kain kapas yang sangat sesuai dengan iklim alam Melayu dan ia juga tidak mengikut bentuk badan. Antara kelemahan kain kapas ialah ia perlu diganti dalam satu jangka masa bergantung kepada cara dijaga kerana ia akan menipis seiring dengan usianya.

Namun begitu pada hari ini terdapat pelbagai jenis warna, potongan, kain dan hiasan telekung boleh didapati dalam pasaran. Sulaman merupakan antara hiasan digunakan untuk mencantikkan telekung.

Telekung merupakan satu rekaan pakaian sembahyang bagi wanita Islam yang kreatif dan sesuai dengan alam Melayu. Rekaan telekung yang ringkas dan sederhana adalah bersesuaian dengan prinsip kehidupan wasatiyyah yang dianjurkan dalam Islam.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com