Tawaran Hebat iPhone 7 Pada Harga RM3.10 Di Singapura?


SINGAPURA – Warga Singapura khasnya anak muda teruja apabila tersebar iklan ‘pop-up’ yang menawarkan model telefon pintar terbaharu iPhone 7 pada harga hanya S$1 (kira-kira RM3.10).

Bagaimanapun kegembiraan tersebut tidak bertahan lama apabila pihak Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 16 November mengesahkan ia sebenarnya adalah iklan palsu, menurut laporan stesen tempatan Channel NewsAsia.

Malangnya sejak Oktober lalu, SPF menerima laporan sekitar 12 orang sudah pun terpedaya sehingga sanggup memberikan maklumat peribadi dan nombor akaun bank mereka terhadap pentadbir iklan ‘hantu’ tersebut.

Kesemua mangsa dikatakan pada mulanya tertarik sebelum memberi respons lebih lanjut kepada satu iklan secara online yang berbunyi: “Jika anda tinggal di Singapura, anda boleh mendapatkan iPhone 7 pada harga hanya S$1”.

Menurut jurucakap SPF, mereka yang menekan pautan iklan itu dibawa ke satu lagi laman menunjukkan laporan akhbar konon tentang tawaran tersebut serta bukti rekaan beberapa individu pernah menerima telefon berkenaan.

Untuk mendaftar, mereka hanya perlu memberikan maklumat peribadi seperti nama, alamat, nombor telefon bimbit dan butiran akaun bank termasuk nombor kad kredit, Pengesahan Nilai Kad (CVV) dan kata laluan unik (OTP).

Harga runcit model terkini iPhone keluaran firma Apple dari Amerika Syarikat itu di Singapura ialah S$1,048 (RM3,255), manakala versi Plus pula ialah S$3,878. Kedua-duanya boleh didapati 32GB, 128GB dan 256GB.

Mangsa skim penipuan unik itu akhirnya terpaksa membuat aduan polis setelah mendapati beberapa urus niaga dalam mata wang asing yang mencurigakan tiba-tiba sahaja dibuat dengan menggunakan kad kredit mereka.

Justeru SPF dalam hebahan awam hari ini menasihati orang ramai supaya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan sindiket licik seumpama itu dengan mengambil langkah-langkah keselamatan seperti berikut:

– Berhati-hati dengan segala bentuk tawaran menarik dalam talian yang kelihatan tidak munasabah;

– Berhati-hati apabila diminta memberi maklumat peribadi dan butiran akaun bank menerusi internet;

– Perhatikan tanda-tanda yang menunjukkan anda menggunakan laman web yang sahih atau selamat.

Laman web yang sah biasanya sengaja disulitkan oleh pihak pentadbir bank bagi melindungi maklumat rahsia pengguna. Portal sesawang yang selamat menggunakan https: bukannya http: pada permulaan alamat Internet.

Pada kelaziman, paparan laman web yang selamat turut akan memaparkan logo mangga terkunci atau ikon kunci serta tidak terpisah dan ia biasanya terletak di sudut kanan bahagian bawah tetingkap pelayar pengguna.

Pihak SPF turut menasihati pengguna memasang antivirus, anti-perisian intip/perisian hasad dan firewall atau tembok api pada telefon bimbit dan komputer di samping sering melakukan pengemaskinian versi baharu.

Bagi mengelak insiden jenayah komersial itu daripada berulang, polis republik itu turut menggesa pengguna segera melaporkan sebarang urus niaga ‘pelik’ dalam bil kad kredit kepada pihak bank. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com