“Tak Keluar! Kami Hormat Dewan dan Mandat Rakyat”


SHAH ALAM – Semua 12 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor mempamerkan plakad bertulis “Tak Keluar! Kami Hormat Dewan dan Mandat Rakyat” pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Mereka mempamerkan plakad itu selepas Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selesai membentangkan Bajet Selangor 2017.

Perbuatan tersebut mengundang tawa dalam kalangan ADUN yang berada dalam dewan termasuk Mohamed Azmin.

Tindakan ADUN BN itu dilihat seolah-olah ‘menyindir’ anggota Parlimen daripada Pakatan Harapan yang bertindak mempamerkan plakad serta keluar dari Dewan Rakyat ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2017 pada 21 Oktober lepas.

Ketika ditemui pemberita di lobi DUN bagi mengulas perkara itu, ADUN Permatang Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata: “Kita dengar bajet yang dibentang betul-betul… walaupun ADUN BN hanya ada 12 orang sahaja, tapi kita tak keluar dewan (DUN) sebab kita nak buat analisis. Tak macam anggota Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat, kita hormati DUN,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa membentangkan Bajet Selangor 2017 berjumlah RM3.45 bilion iaitu RM1.65 bilion atau 47.8 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion atau 52.2 peratus bagi perbelanjaan pembangunan. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com