Sultan Kelantan Sertai Upacara Lupus Abu Al-Quran Di Laut China Selatan


PASIR PUTEH – Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan melupuskan 10 tan abu al-Quran, di perairan Laut China Selatan, kira-kira 14 batu nautika dari Pantai Tok Bali di sini, kelmarin.

Abu al-Quran itu dimuat dan dilupuskan dalam tiga bot rampasan nelayan haram serta sebuah kapal berusia 52 tahun milik kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk dijadikan Taman Tukun Keputeraan.

Dalam upacara itu, baginda turut diiringi oleh Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menaiki kapal APMM untuk menyempurnakan pelupusan abu tersebut yang bermula pada jam 3 petang.

Difahamkan, al-Quran yang dilupuskan kebanyakannya yang rosak akibat banjir besar pada tahun 2014.

Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, program pelupusan abu al-Quran ini adalah kali pertama dilakukan dan pihaknya bertanggungjawab melaksanakan pelupusan itu seperti yang dituntut agama.

Jelasnya, proses pembakaran al-Quran itu dilakukan di tempat khas di JHEAIK kemudian, abunya dimasukkan ke dalam tong di bot berkenaan.

“Kita melaksanakannya secara tertib sebagaimana yang dituntut dalam Islam,” katanya pada program Pelupusan Abu Al-Quran dan Pembinaan Taman Tukun Keputeraan di Tok Bali. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com