Sultan Ibrahim "Haram" Bersih 5 Seluruh Johor, Dedah Kisah Bekas PM


PASIR GUDANG – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar tidak akan membenarkan apa-apa demonstrasi jalanan haram untuk mengambil tempat di seluruh Johor.

“Ia tidak bertanggungjawab bagi kita berkumpul di tempat awam dan menghina pemimpin atau individu tertentu, dan saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan benar apa-apa jenis demonstrasi berlaku di Johor,” titahnya.

Sultan Ibrahim seterusnya bertitah bahawa demonstrasi tanpa permit anjuran pihak tertentu itu hanya akan mengganggu ketenteraman awam dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan rakyat negeri tersebut sendiri.

Bertitah pada Himpunan Bangsa Johor dihadiri kira-kira 3,000 orang di Stadium Tertutup Pasir Gudang, baginda menyeru pelbagai organisasi bukan kerajaan di negeri ini tidak mengambil bahagian dalam demonstrasi jalanan.

Sultan Ibrahim bertitah jika ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, maka mereka harus menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan bukannya berhimpun bebas secara jalanan.

“Pergilah bertemu wakil rakyat masing-masing, dan jika mereka gagal menyuarakan rasa tidak puas hati anda, maka cara lain ialah memilih seorang pemimpin baharu yang mampu untuk melakukan pekerjaan itu,” titah baginda.

Meskipun tidak menyatakan secara jelas mengenai perkara tersebut, titah Sultan Johor itu nyata merujuk kepada usaha rancangan jahat pihak propembangkang mahu mengadakan perhimpunan Bersih 5 pada 19 November depan.

Malah, beberapa siri jelajah kempen biadap demonstrasi antikerajaan itu turut diadakan di negeri tersebut baru-baru ini sehingga mencetuskan bantahan daripada penduduk tempatan dan banyak laporan polis telah dibuat.

Dalam pada itu, Sultan Johor turut mendedahkan kisah seorang bekas pemimpin yang pernah diberi kuasa akibat tamak tergamak menghapuskan hak raja dan melakukan pindaan perlembagaan persekutuan pada 1994 lalu.

“Ia telah menjadikan Yang di-Pertuan Agong sebagai boneka yang mesti mengikut telunjuk mereka. Saudara boleh semak sendiri pindaan yang telah dibuatnya dan kenal siapakah perdana menteri pada ketika itu,” titah baginda.

Sultan Ibrahim seterusnya menyelar pemimpin tersebut sebagai kacang lupakan kulit dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan baginda sendiri berasa amat kecewa dengan tokoh itu yang cukup terkenal di seluruh dunia.

Baginda turut mengingatkan penduduk negeri itu agar berwaspada dengan parti yang didapati cuba membawa virus dan sengaja menghancurkan perpaduan dalam kalangan rakyat namun tidak menyatakannya secara terbuka.

Bagaimanapun, banyak pihak merujuk titah Sultan Johor itu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru-baru ini mewujudkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia bagi menentang kerajaan sedia ada. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com