SPRM Pecat Pegawai Dera Isteri Dan Anak


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak tegas tanpa kompromi dengan memecat seorang pegawai agensi itu yang didakwa mendera dan mencederakan isteri serta anaknya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Mohd. Jamidan Abdullah berkata, keputusan memecat Muhammad Nazrin Abdullah, 37, berkuatkuasa 1 November lalu itu bagaimanapun adalah disebabkan kes dadah.

“Lembaga Tatatertib SPRM telah membuat keputusan untuk memberhentikan perkhidmatan Muhammad Nazrin yang dijatuh hukum oleh mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada September lalu.

“Keputusan untuk memberhentikan perkhidmatan pegawai tersebut berkuatkuasa 1 November 2016. SPRM memandang serius kejadian tersebut dan tidak akan berkompromi jika terdapat pegawai yang melanggar peraturan organisasi,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Muhammad Nazrin pada 7 November lalu turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tangkak atas tuduhan mengugut biras lelakinya, September lalu.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan menakutkan secara jenayah dengan cara menunjukkan sebilah parang panjang de­ngan niat menyebabkan kegen­taran kepada Mohammad Faris Ngatiman di sebuah rumah di Kampung Parit Jarum Tengah, Bukit Gambir kira-kira pukul 7.10 pagi, 21 September lalu

Pegawai SPRM Cawangan Segamat itu juga diperintahkan melapor diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat setiap dua minggu selain tidak dibenarkan mendekati isteri dan anaknya.

Akhbar baru-baru ini melaporkan seorang ibu muda ber­usia 22 tahun dan anak lelakinya trauma akibat dibelasah suami selain dimaki dan dihina sejak seminggu mereka mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Kes tersebut sebelum itu tersebar di laman sosial Facebook setelah wanita berkenaan memuat naik status kisah keganasan rumah tangga yang dialaminya dan mendakwa suaminya yang merupakan seorang pegawai SPRM sering mendera dan melakukan serangan seksual terhadapnya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com