SOJC: Peluang Pertahan Tempat Ke-3 Hancur Di Tangan Jepun


JOHOR BAHRU – Peluang skuad hoki remaja negara untuk mempertahankan kedudukan di tempat ketiga pada edisi lepas berkecai, selepas tewas 1-2 kepada Jepun pada hari keempat Kejuaraan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2016 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini malam semalam.

Skuad remaja negara bermula garang apabila Mohamad Rozani Baharom membuka jaringan menerusi gol padang pada minit ke-15.

Usaha pemain tengah, Rafizul Ezry Mustafa menggandakan jaringan pada minit ke-17 melalui gerakan di dalam kawasan D, bagaimanapun dinafikan penjaga gawang Jepun, Hiroki Nakagami.

Sebaliknya, pasukan pelawat bangkit memperkemaskan serangan dan berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi pukulan sudut penalti Miyu Tanimitsu pada minit ke-27.

Bersambung babak kedua perlawanan, Miyu Tanimitsu mengesahkan kemenangan pasukan pelawat menerusi pukukan sudut penalti pada minit ke-63.

Malaysia dijadual menentang New Zealand dalam perlawanan pelengkap jadual, pada 8.30 malam esok. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com