Snorkeling Bahaya Jika Dilakukan Dengan Cara Tak Betul


KUALA LUMPUR – Banyak syarikat pelancongan akan membuat anda berfikir bahawa snorkeling semudah memakai beberapa peralatan, terjun ke laut dan tiada apa yang perlu dibimbangkan selepas itu.

Bagaimanapun, hakikatnya ialah walaupun snorkeling menjadi sukan yang digemari dan mudah, ketiadaan kemahiran asas, peralatan yang betul dan pengetahuan mengenai keadaan laut, ia boleh menjadi pengembaraan yang menakutkan dan boleh membawa maut.

Banyak kes lemas yang tragis kerana snorkeling dilaporkan tahun ini termasuk membabitkan seorang pelajar Itali Borella Lorenzo, 27, yang maut ketika bersnorkel di Pualu Redang awal tahun ini dan seorang pelajar dari Nottingham University, Ningbo, China turut didapati lemas selepas bersnorkel di Shark Point, Pulau Perhentian tahun lepas.

Menurut pakar snorkeling Reef Check Malaysia, Alvin Chelliah, snorkeling adalah aktiviti yang agak selamat untuk sesiapa sahaja berusia lima tahun ke atas.

Bagaimanapun, ia boleh menjadi berbahaya sekiranya tiada kelengkapan dan bimbingan yang betul, yang ramai tidak faham ketika melakukan aktiviti itu, katanya.

“Ramai orang fikir snorkeling mudah dikendalikan, tetapi tidak semudah itu. Banyak faktor perlu diambil kira sebelum menyelam ke laut biru.

“Peralatan yang berada dalam keadaan berfungsi penting untuk memastikan walaupun seseorang itu tidak biasa berenang, mereka akan dilindungi dengan gear tersebut.

“Bahaya sekiranya anda tidak mempunyai peralatan yang betul, khususnya jaket snorkel, serta rakan atau pengajar anda di dalam air,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Alvin menjelaskan bahawa mereka yang tidak pernah snorkeling, mempunyai masalah kesihatan dan tidak boleh berenang, atau tidak selesa di dalam air, berisiko tinggi ketika menjalankan aktiviti air itu.

Namun begitu, golongan ini boleh bersama-sama menikmati aktiviti itu seperti orang lain, tetapi mereka perlu lebih berhati-hati, menggunakan peralatan yang betul dan pergi bersama tenaga pengajar yang terlatih, katanya.

Alvin berkata buat penyelam yang pertama kali, mereka perlu memastikan kawasan pertama untuk bersnorkel adalah jauh dari dasar laut untuk membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan peralatan secara perlahan-lahan sebelum merasa selesa di dalam air seterusnya berada di laut dalam.

Beliau berkata walaupun tenaga pengajar terlatih bertauliah yang sudah biasa dengan kawasan tertentu adalah sangat penting, banyak syarikat pelancongan yang gagal menjadikan perkara itu keutamaan, sekaligus menggadai nyawa penyelam snorkeling yang kurang berpengalaman.

“Tidak seperti industri menyelam yang dikawal selia, industri snorkeling percuma untuk semua, yang bermaksud mereka yang mempunyai bot dan beberapa kelengkapan bersnorkel boleh menjadi pengajar tanpa apa-apa latihan atau pensijilan.

“Syarikat pelancongan jarang atau pernah menghantar kakitangannya untuk pensijilan yang betul atau latihan dan sebilangan besar pengajar, apa yang saya tahu, mereka tidak dilatih dengan bantuan kecemasan asas atau bantuan pernafasan (CPR),” tambahnya.

Mengambil maklum isu ini, Setiausaha Bahagian Dasar dan Inspektorat di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Normi Nordin berkata satu majlis khas ditubuhkan dan sedang merangka garis panduan untuk menangani masalah tersebut.

“Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) sedang dalam proses merangka garis panduan mengenai aktiviti berkaitan air untuk membantu pihak berkuasa tempatan menggubal peraturan keselamatan air yang relevan dalam bidang kuasa mereka.

“Diharapkan apabila garis panduan ini siap, pihak berkuasa tempatan akan menjadikannya mandatori kepada operator aktiviti sukan air berlesen, antara lain, untuk mematuhi keperluan keselamatan minimum yang akan membantu mengurangkan kejadian lemas,” katanya kepada Bernama.

MKAA dipengerusikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta anggotanya merangkumi agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Majlis itu bertujuan mempromosikan kesedaran keselamatan air secara holistik, meliputi semua lapisan masyarakat serta memperkenalkan standard keselamatan air kebangsaan.

MKAA juga menyediakan penjaga pantai di semua pantai dan aktiviti berkaitan air yang lain di tempat awam termasuk kolam hotel, dan mengeluarkan amaran kepada pelancong mengenai bahaya di dalam air melalui bahan maklumat yang mencukupi dan dengan bantuan pemandu pelancong. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com