Sistem Amaran Tsunami Malaysia Berkesan


KUALA LUMPUR – Malaysia mempunyai sistem dan kelengkapan yang cukup baik untuk mengesan kejadian gempa bumi dan tsunami demi keselamatan rakyat negara ini.

Menteri Sains , Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madius Tangau berkata, Malaysia menggunakan Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) yang menyediakan sistem amaran awal tsunami dengan berkesan.

“SAATNM berperanan untuk mengesan gempa bumi yang berlaku di rantau ini dan seterusnya mengeluarkan maklumat gempa bumi tersebut serta nasihat dan amaran jika ia berpotensi menjana ombak tsunami.

“MOSTI melalui agensi pelaksananya iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) diberikan tanggungjawab menyedia dan menyelaraskan sistem ini,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Madius menerangkan, penyebaran maklumat gempa bumi dan nasihat serta amaran awal tsunami di Malaysia dapat dilakukan dalam masa lapan minit selepas kejadian gempa bumi dikesan pada waktu ini.

Bagaimanapun, katanya, MetMalaysia sedang melaksanakan projek perluasan rangkaian seismik bagi memantapkan keupayaan pengesanan aktiviti gempa bumi yang melibatkan penambahan 15 stesen seismik di seluruh nSabah.

“Di samping itu, Sub-Pusat Pemantauan Gempa Bumi telah ditubuhkan di Pejabat Meteorologi Sabah bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan berkaitan kejadian gempa bumi kepada orang awam di negeri Sabah,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu satu latihan amal mempersiapkan para penduduk setempat supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi ancaman bencana tsunami diadakan di Putatan, Sabah hari ini. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com