"Siapa Ajar Syed Saddiq Biadap Pada Sultan?" - Pemuda UMNO Kedah



ALOR SETAR - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah mempersoal pendirian Presiden dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung kenyataan biadap Ketua Armadanya, Syed Saddiq Abdul Rahman yang mengkritik keras Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, secara terbuka.

Ketua Pergerakan tersebut, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menegaskan bahawa Syed Saddiq tidak akan begitu biadap terhadap Sultan Johor sekiranya kepimpinan tertinggi PPBM tidak mengajar atau memberi 'lampu hijau'.

"Siapa yang ajar dia begitu? Siapa yang ajar dia untuk bersikap kurang ajar? Dia mungkin boleh kurang ajar pada adik atau ahli armada di bawahnya, tapi tidak pada Sultan Johor atau mana-masa Sultan dan Raja-Raja Melayu di negara ini.

"Jadi apa pendirian Muhyiddin dan Mukhriz mengenai anak buah kesayangan itu? Mereka suntik ideologi menghina Sultan dan Raja-Raja Melayu?," katanya dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.


Shaiful Hazizy turut memberi amaran supaya para pemimpin PPBM untuk tidak mengikut jejak langkah pemimpin yang tergamak menghapuskan hak raja dengan melakukan pindaan perlembagaan persekutuan pada 1994, seperti yang dimaksudkan dalam titah Sultan Ibrahim.

"Mereka mahu ikut jejak langkah bekas Perdana Menteri itu yang pernah pecah-belah dan pandang remeh pada Raja-Raja Melayu?

"Saya beri amaran, jangan buat begitu. Buruk padahnya, pantang anak Melayu derhaka pada Sultan dan Raja-Raja Melayu yang berdaulat di negara ini," tegasnya lagi.

Sultan Johor sebelum ini dalam titah baginda menyelar seorang bekas pemimpin negara yang disifatkan telah memboneka Yang DiPertuan Agong ketika berkuasa dan memberi tekanan kepada Raja-Raja Melayu untuk tunduk pada pindaan perlembagaan yang mengurangkan hak dan kuasa Raja-Raja Melayu.

Ekoran itu, Syed Saddiq tampil mempertahankan bekas pemimpin negara itu dan mengkritik titah Sultan Johor secara terbuka sehingga menimbulkan kemarahan ramai, khususnya rakyat di negeri Johor.

Beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Ketua Armada PPBM itu, namun Syed Saddiq dalam kenyataan terbarunya mempertahankan tindakan mengkritik Sultan Johor dengan menegaskan bahawa kritikan itu dibuat berdasarkan "prinsip" dirinya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com