Selamatkan Institusi Keluarga Islam Di Malaysia


Berita yang mendapat liputan meluas dalam media adalah bad news. Sebabnya, dalam dunia kewartawanan bad news adalah good news. Cuma apabila berita berkaitan institusi keluarga mendapat tempat yang utama dalam akhbar, ia membimbangkan.

Selasa lalu, Dewan Rakyat dimaklumkan sebanyak 267 pasangan Islam bercerai setiap hari atau 11 kes bagi setiap jam. Ini berdasarkan statistik 48,077 kes percerai­an yang direkodkan dari Januari hingga 10 Julai 2016.

Sehari selepas itu, kita dikejutkan pula dengan berita 323,047 anak tidak sah taraf direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 2010 hingga tahun lalu. Daripada jumlah ter­sebut, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi 2012 hingga 2015 pula adalah seramai 16,270 orang. Statistik ini juga disebut dalam Dewan Rakyat.

Jika diperinci, purata sebanyak 21,536 anak tidak sah taraf dilahirkan setahun, 1,795 dilahirkan sebulan dan 60 dilahirkan sehari. Astaghfirullah...apa nak jadi de­ngan institusi keluarga hari ini.

Memanglah perceraian itu bukan dosa. Jika sudah tiada persefahaman atau kata orang Melayu, tiada jodoh maka Islam membenarkan perceraian. Walaupun statistik perceraian itu mencemaskan, tidaklah seteruk kes kelahiran anak tidak sah taraf atau lebih tepat kes perzinaan.

Talak adalah perkara halal yang dibenci oleh Allah. Sebaliknya, berzina itu amat dilarang oleh Islam dan adalah dosa besar. Ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” (al-Israk: 32)
Maksud amaran ‘jangan hampiri zina’ ini ditujukan kepada segala perkara yang mendorong kepada perlakuan zina. Ini termasuk berdua-duaan lelaki dan perempuan bukan mahram, bercakap-cakap atau berhubungan dengan cara-cara yang boleh menaikkan nafsu kejahatan, berpegangan tangan atau apa saja perkataan, perbuat­an dan isyarat yang boleh mencetuskan perasaan kepada perbuatan zina.

Sebab itu dalam zaman internet dan maklumat di hujung jari kita perlu berwaspada dengan gajet-gajet telekomunikasi yang kita gunakan. Telefon bimbit dan komputer jika tidak digunakan dengan bijak boleh menjerumuskan kita dalam perzinaan.

Iblis amat licik. Pengalamannya banyak. Ia ada le­bih 1,001 cara menggoda dan menyesatkan kita. Ingat, pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali ketiganya adalah syaitan.” (riwayat Ahmad).
Syaitan akan menghembus perasaan berahi. Kita lemah untuk menghadapi tipu daya iblis.

Bagi menangani isu ini, peranan ibu bapa dan institusi keluarga amat penting. Ibu bapa mesti mentarbiah anak-anak supaya memelihara maruah diri dan jangan berzina. Ini juga adalah salah satu daripada maqasid syariah yang perlu diberi perhatian dalam aspek menjaga keturunan.

Antara benteng utama terjebak dalam kancah maksiat adalah solat fardu. Dalam rumah tangga, suami mesti usahakan untuk solat jemaah dengan isteri dan anak-anak. Paling tidak sekali seminggu. Seusai solat, berilah tazkirah tentang kepentingan memelihara maruah dan melaksanakan perintah Allah dalam bentuk yang santai dan mudah difahami.

Melalui cara ini, bukan sahaja kita mendidik anak-anak tetapi pada masa sama kita turut memberi peringatan kepada diri sendiri agar sentiasa berusaha menjadi insan soleh dan memimpin rumah tangga ke jalan yang diredai Allah.

Apabila hati sentiasa diberi peringatan, insya-Allah kita akan terhindar dan tidak tergamak melakukan perbuatan maksiat. Seterusnya terpelihara daripada zina.

Sumber: Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com