Saya Tahu Siapa Pembunuh Yasser Arafat – Mahmud Abbas


BAITULMAQDIS – Presiden Palestin, Mahmud Abbas menegaskan beliau tahu siapa yang membunuh Yasser Arafat, namun tidak memberikan nama.

Bercakap di depan ribuan penduduk pada sambutan ulang tahun ke-12 kematian pemimpin itu, Abbas berkata: “Anda bertanya saya siapa membunuhnya, saya tahu tapi keterangan saya seorang sahaja tidak mencukupi.

“Suruhanjaya siasatan menggali perkara ini, tapi anda cuma mengetahuinya pada peluang terawal dan terkejut apabila mengetahuinya.

“Saya tidak mahu menyebut nama tetapi nama ini tidak layak diingati.” Arafat memimpin pergerakan Palestin pada lewat tahun 1960-an, mengetuai perjuangan bersenjata bagi menentang Israel.

Beliau meninggal dunia pada 11 November 2004 di hospital berhampiran Paris akibat sebab yang tidak diketahui pada usia 75 tahun.

Selepas lebih sedekad kematiannya, Arafat kekal menjadi tokoh terkenal dalam budaya, politik dan masyarakat Palestin.

Rakyat Palestin sudah lama menuduh Israel meracun pemimpin itu, dakwaan yang disangkal keras rejim Zionis.

Mayat beliau digali semula pada 2012 untuk ujian tetapi siasatan pihak berkuasa Perancis tidak menemui bukti beliau diracun.

Palestin menolak dakwaan itu, merujuk percanggahan ketara antara hasil kajian Perancis dan penemuan berasingan oleh Switzerland dan Russia yang menyatakan keracunan polonium.

Abbas dan musuh tradisinya, Mohammed Dahlan, saling menuduh bersubahat dalam kematian Arafat pada masa lalu.

Komen Abbas dibuat dengan beberapa negara Arab dilaporkan menekan pemimpin berusia 81 tahun itu membenarkan Dahlan yang kini hidup dalam buangan di Emiriah Arab Bersatu, kembali ke Tebing Barat. – AGENSI

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com