“Saya Dilabelkan Pembunuh Bola Sepak Malaysia” - TMJ


KUALA LUMPUR – “Saya telah dilabelkan sebagai pembunuh bola sepak Malaysia dan kebanyakan pesaing saya dilabel sebagai wira.”

Demikian pandangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berhubung persepsi masyarakat bola sepak tanah air ke atas baginda.

Baginda memberitahu pernah memaklumkan perkara itu kepada pegawai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sewaktu berada di Sepanyol baru-baru ini.

“Mereka bertanya kepada saya tentang senario bola sepak di Malaysia dan apa yang membezakan projek bola sepak saya berbanding dengan pesaing saya? Saya memberitahu mereka bahawa JDT mempunyai banyak kerjasama dengan kelab-kelab Asia dan Eropah.

“Kami menubuhkan program pembangunan yang teratur dan kami juga menghantar ramai pemain muda dan jurulatih kami ke luar negara untuk latihan atau secara pinjaman. Supaya pada suatu hari nanti mereka akan menggunakan pengalaman mereka untuk berkhidmat kepada tanah air dan menjadi kebanggaan negara.

“Dua individu iaitu, Jorge dan Rafael berkata kepada saya, ‘Anda pasti dianggap sebagai wira di negara anda’. Saya berkata, ‘Tidak, mereka melabelkan saya sebagai pembunuh’. Mereka kelihatan terkejut dan saya hanya terus tersenyum,” kata baginda dalam satu kenyataan semalam.

Tunku Ismail dalam pada itu mendakwa menerima banyak panggilan memujuknya menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) termasuk daripada Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan, media dan presiden kelab lain serta ahli gabungan.

“Saya memberitahu mereka bahawa saya tidak sesuai bagi jawatan tersebut atas dasar wujudnya konflik kepentingan. Seperti yang anda semua sedia maklum, dana dalam FAM telah pun habis. Kelab-kelab lain sedang menghadapi masalah kewangan dan ianya turut melibatkan pasukan kebangsaan,” dakwa baginda. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com