Sarawak Takkan Sesekali Keluar Malaysia - Pejabat Ketua Menteri


KUCHING – Pejabat Ketua Menteri (CMO) Sarawak semalam membuat penafian tentang perkara yang tersebar melalui laman sosial yang menuduh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyalahkan pihak berkuasa persekutuan bagi kebanyakan masalah yang menimpa negara ini.

Dalam kenyataan di sini semalam, CMO berkata tulisan dalam laman sosial itu juga mendakwa Ketua Menteri mengancam untuk membawa Sarawak keluar daripada Malaysia sekiranya semua masalah yang didakwa wujud itu tidak diatasi.

“Tulisan itu dilaporkan berasal daripada akaun Facebook ‘Sarawak Keluar Malaysia 2021’, menurut kenyataan itu.

“CMO menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa Ketua Menteri pernah membuat sebarang kenyataan umum yang bermaksud demikian dan menyifatkan tulisan itu sebagai tidak benar sama sekali serta suatu perbuatan yang secara terang-terangan bertujuan memberi gambaran buruk mengenai Ketua Menteri di mata Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Ketua Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa Sarawak tidak akan sekali-kali berpisah daripada Malaysia, tetapi ia tidak bermakna negeri berkenaan tidak boleh memperjuangkan haknya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia, Laporan dan Cadangan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

Sementara itu, ketika dihubungi bagi merujuk tentang tulsian itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Dev Kumar M.M. Sree Shunmugam berkata, polis sedang menyiasat kes berkenaan. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com