Sarang Burung Walit: Standard Khas Eksport Ke China Siap 6 Bulan Lagi


KUALA LUMPUR – Standard khas bagi pengeksportan produk sarang burung walit ke China dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata standard itu penting bagi membolehkan pengeksportan sarang burung walit secara terus ke China hasil rundingan daripada lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negara itu pada awal November.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan produk sarang burung walit memenuhi 35 syarat yang ditetapkan China sebelum produk itu dihantar ke sana,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Shamsul Nasarah (BN-Lenggong) tentang langkah kerajaan untuk memastikan eksport sarang burung walit ke China selamat dan tiada sekatan dikenakan.

Ahmad Shabery berkata standard khas itu mampu mengelakkan produk itu ditolak pasaran China berikutan terdapat kandungan yang tidak selamat untuk manusia seperti yang berlaku empat tahun lepas.

Beliau berkata pengusaha sarang burung walit juga tidak digalakkan memproses sendiri komoditi itu kerana kerja-kerja pembersihannya amat rumit serta syarat ketat yang dikenakan China.

“Setakat ini, memproses sendiri komoditi itu adalah sesuatu yang tidak digalakkan kerana ia satu kerja yang rumit dan memerlukan tempat khas seperti kilang-kilang yang diiktiraf di negara mereka.

“Kita tahu bahawa ia kerja susah seperti mencabut bulu burung (pada sarang) selama lapan jam dalam satu hari,” katanya dan menambah terdapat 20,000 pengusaha sarang burung walit seluruh negara ketika ini. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com