SADA Perjelas Masalah Air Di Jalan Tanjung Bendahara

Air keruh seakanakan warna teh o.
ALOR SETAR - Penduduk Taman Putra Jaya, Jalan Tanjung Bendahara terpaksa menadah air ketika tengah malam hingga waktu pagi setiap hari untuk kegunaan harian, akibat masalah bekalan air sejak seminggu lalu.

Difahamkan, masalah itu bermula sejak 1 November dan berlanjutan hingga kini sehingga mengganggu kehidupan seharian penduduk terlibat.

Wakil penduduk, Siti Marziah Hassan, 43, berkata, mereka menyangka gangguan air hanya akan berlaku sehari seperti pengumuman notis diterima.

“Menurut notis, gangguan bekalan air akan berlaku pada Selasa minggu lepas sahaja. Bagaimanapun, sehingga kini ia masih tidak selesai.

“Bayangkan, hendak buat apa pun susah kerana air tiada. Jikalau ada sekalipun, air amat perlahan dan berwarna coklat seakan-akan teh,” katanya.

Marziah berkata, dia terpaksa menadah air ke dalam 20 ke 25 botol semata-mata untuk disimpan dan digunakan untuk urusan harian dan memasak.

Menurutnya, dia juga terpaksa mengangkut air yang banyak untuk memasak makanan yang dijual di sebuah kawasan sekitar Jalan Langgar.

“Selepas jam 7 pagi, air tiada hingga malam. Jadi, saya hanya boleh menadah air selepas selesai berniaga kira-kira jam 2 pagi. Itu pun, air  perlahan,” katanya.

Katanya, bayangkan, mereka sekeluarga terpaksa mengorbankan masa untuk menadah air sehingga selesai sekitar jam 4.30 pagi.

"Kebanyakan penduduk buntu berdepan gangguan air itu kerana meskipun mengeluarkan wang untuk memasang pam, namun keadaan didapati tidak berubah.

"Kami mohon supaya pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya segera, sama ada membaiki paip air di taman perumahan itu ataupun alternatif lain," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada), Datuk Abdul Ghani Zainuddin berkata, masalah gangguan bekalan air sememangnya dalam pemerhatian Sada, malah akan diselesaikan.

Beliau berkata, gangguan air berlaku di daerah Kota Setar termasuklah kawasan berkaitan disebabkan kerja pembaikan sistem elektrikal di Loji Rawatan Air Bukit Pinang.

“Setelah selesai kerja-kerja pembaikan itu, loji akan beroperasi semula namun ia mengambil masa untuk menstabilkan paras kolam ke paras tiga meter (m),” katanya.

Katanya, untuk penyelesaian jangka panjang, bekalan air dijangka bertambah baik apabila Loji Pokok Sena siap pada tahun hadapan.

"Sada sedang menyusun Program Air Tidak Berhasil (NRW) untuk mempertingkatkan lagi kuantiti air kepada pengguna," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com