Rumah Penduduk Di Kuala Kedah Mula Dinaiki Air

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Kira-kira 300 penduduk di sepanjang persisiran pantai di beberapa kawasan sekitar Kuala Kedah dinaiki air kira-kira 11.30 malam semalam.

Seorang penduduk Che Mani Dali, 43, berkata air naik begitu cepat dan menyebabkan tidak banyak barangan di dalam rumahnya sempat diselamatkan.

"Kami tidak sangka air naik cepat sangat, baru sahaja sampai di jalan namun tidak sampai 20 minit, air sudah masuk ke dalam rumah.

"Masa itu, kami sedang mengemaskan barangan, ada lagi barang yang tidak sempat diangkat," katanya kepada pemberita semalam.

Mohd Arif Ridzuan, 38, pula berkata apabila air mula naik, beliau keluar ke halaman rumahnya untuk memantau keadaan air.

"Sekitar jam 2 pagi, saya lihat air sudah mula surut, namun kemudian penat juga nak bersihkan lantai rumah," katanya.

Beberapa buah kampung yang terjejas akibat fenomena air pasang besar malam tadi antaranya Kampung Tok Pasai, Kampung Seberang Kota, Kampung Ulu dan Taman Sejahtera.

Namun tiada penduduk yang dipindahkan kerana air surut beberapa jam kemudian.

Sementara itu Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar, Staf Muda (PA) Mohd Shukri Shuib berkata keadaan di sekitar Kuala Kedah setakat ini adalah terkawal.

"Kita turut tempatkan anggota untuk memantau keadaan malam tadi," katanya. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com