RM50,000 Sebulan , Kontrak Ratusan Ribu, Azmeer Hijrah Ke Lembah Klang?


PEMAIN pertahanan Kedah, Azmeer Yusof dilapor mendapat tawaran mewah daripada sebuah pasukan Liga Super yang berpangkalan di Lembah Klang.

Menurut sumber, Azmeer yang merupakan pemain kelahiran Perak ditawarkan gaji sehingga RM50,000 sebulan jika menyertai skuad berkenaan untuk saingan Liga Malaysia musim depan.

Selain gaji mewah itu, Azmeer dilapor turut ditawarkan kontrak kebersihan bernilai ratusan ribu daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri berkenaan sebagai tawaran tambahan.

"Azmeer telah diberi tawaran mewah daripada sebuah pasukan di Lembah Klang. Jika dia setuju, kontrak telah disediakan untuk dimuktamadkan segala perbincangan.

"Azmeer juga diberi ruang untuk berfikir sama ada ingin kekal di Kedah atau berhijrah ke pasukan baru.

"Setakat yang dimaklumkan, Azmeer belum diberi kontrak baru oleh Kedah dan tawaran hanya dibuat secara lisan tanpa sebarang tindakan lanjut," kata sumber itu kepada mStar Online.

Azmeer yang beraksi cemerlang bersama Kedah sehingga menjuarai Piala Malaysia musim ini dilapor telah menerima lima tawaran sejak bulan lalu.

Namun pemain berkenaan yang sedang bercuti bersama keluarga ingin dahulu melihat tawaran lanjutan kontrak yang diberikan Kedah.

Bagaimanapun, akibat ketiadaan tawaran secara serius menerusi kontrak, beliau dikatakan sedia berhijrah ke pasukan lain.

Selain Azmeer, beberapa pemain termasuk Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe didakwa belum menandatangani kontrak baharu untuk musim depan.

Berikutan itu, pemain-pemain yang berjaya membantu Kedah menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ketiga mula dipancing oleh pasukan-pasukan lain termasuk dari Liga Perdana.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com