Rela Jadi "Perpustakaan Kuda" Demi Anak Bangsa


Dengan menunggang kuda putih dan menarik seekor lagi di belakangnya, Ridwan Surui dengan topi lebar yang hampir menutup matanya, kelihatan lebih seperti koboi berbanding pustakawan.

Kedatangan Ridwan dan kudanya dengan membawa buku menggembirakan penduduk di seluruh Serang, sebuah perkampungan kecil yang dikelilingi sawah padi dan gunung berapi di pulau Jawa.

“Perpustakaan kuda!” jerit sekumpulan kanak-kanak sambil berlari menuju ke sebuah masjid, tempat Ridwan mengikat kudanya.

Tersangkut pada pelana kuda itu ialah dua peti kayu buatan tangan, penuh dengan buku.


Bagi kebanyakan penduduk di situ, perpustakaan bergerak yang unik itu ialah satu-satunya yang menghubungkan mereka dengan buku.

Tiada perpustakaan tradisional berdekatan sementara kedai buku pula terletak jauh di bandar besar.

Kerana itu, Ridwan, 43, penjaga kuda profesional, mencipta satu cara unik untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan penduduk di daerahnya.

Dengan menggunakan Luna dan Germanis, dua daripada beberapa ekor kuda di bawah jagaannya dan kira-kira 100 buku yang didermakan seorang rakan, Ridwan memulakan perpustakaan bergerak awal tahun lalu.


Dia tidak pasti sama ada usahanya itu akan berjaya.

Bagaimanapun, usaha itu mendapat sambutan hebat. Dalam masa yang singkat, bapa empat anak itu terpaksa memenuhi permintaan beberapa sekolah dan kampung yang lebih jauh.

Kehadirannya sentiasa dinanti-nantikan.

“Kanak-kanak selalu menunggu ketibaan saya, Luna dan Germanis. Mereka akan beratur dalam satu barisan dan sanggup menunggu lama untuk meminjam buku,” kata Ridwan.

Bukan kanak-kanak saja yang suka membaca buku menerusi perpustakaan bergerak Ridwan.


Orang dewasa juga menyukainya sehingga ramai yang sanggup berhenti melakukan pekerjaan dan keluar rumah untuk meminjam buku yang dibawa Ridwan.

Di luar rumahnya yang sederhana besar, Ridwan membersihkan kawasan tempat dia mengimpikan untuk membina sebuah perpustakaan kekal yang akan dipenuhi dengan buku dan mungkin suatu hari nanti, sebuah komputer.

“Setiap kali melihat kanak-kanak itu mengejar Luna, saya begitu bangga. Saya merasa seperti diperlukan dan ia membuatkan saya sungguh puas,” katanya. - Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com