Rani Kulup Terjatuh Ketika Rasmi Pertandingan Boling, Terima 13 Jahitan


PETALING JAYA - Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah terpaksa menerima 13 jahitan di tangannya selepas terjatuh ketika merasmikan sebuah pertandingan boling, Ahad lalu.

Insiden itu berlaku di pusat membeli-belah Summit di Subang Jaya dekat sini.

"Apabila saya membaling bola, saya terjatuh dan tangan kanan saya terkena palang besi pembahagi lorong boling.

"Saya tahu tangan saya cedera tetapi saya kekal tenang walaupun darah mula menitik," katanya.

Dia kemudiannya pergi ke sebuah klinik di USJ Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan ketika majlis itu masih berlangsung.

"Doktor beritahu kecederaan itu serius dan mencuci luka tersebut. Namun dia meminta saya untuk pergi ke hospital kerana luka perlu dijahit dan x-ray perlu dilakukan," katanya.

Abdul Rani berkata beliau pergi ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk melakukan pemeriksaan x-ray dan luka itu dijahit.

"Saya menerima tiga jahitan di dalam dan 10 jahitan di bahagian luar tangan," katanya.

Jelas beliau, jahitan pada luka itu akan tertanggal sendiri dalam masa dua minggu.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com