Rakyat Lebih Percaya Pada Viral Walaupun Tidak Benar

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata anggota parti perlu memfokuskan untuk memenangi hati rakyat berbanding memenangi jawatan dalam parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Beliau berkata usaha untuk memenangi hati rakyat itu jauh lebih penting daripada memikirkan kedudukan dalam parti atau mempertikai perbezaan pendapat.

“Jadi, saya harap dalam Perhimpunan Agung UMNO ini, kita bincang tentang apa yang perlu dilakukan lagi, memberi cadangan kepada pucuk pimpinan untuk menang dalam pilihan raya,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Akademik Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Ke-12, di sini semalam.

Mohamed Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata sejak 2008, pilihan raya sudah tidak semudah pilihan raya sebelumnya dan dengan teknologi pada masa kini, persaingan dalam pilihan raya semakin sengit.

Beliau berkata dengan kemudahan teknologi pada masa kini, masyarakat lebih mudah mempercayai apa yang disebarkan walaupun ia bukan berasaskan fakta sebenar.

“Orang cepat percaya, persepsi itu penting dan ia boleh memenangkan dalam pilihan raya walaupun ia tidak betul, sebab itulah dalam perhimpunan agung ini, kita pusatkan perpaduan dalam kalangan ahli,” katanya.


Perhimpunan Agung UMNO 2016 akan membuka tirainya hari ini yang dikatakan sebagai perhimpunan terakhir sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Terdahulu, Mohamed Nazri berkata dalam tempoh 22 tahun penubuhan ASWARA, institusi itu berjaya menyerlah potensi staf akademik, staf sokongan, para graduan serta meraih pengiktirafan yang cukup baik dari dalam dan luar sebagai satu-satunya universiti seni di negara ini seperti penglibatan dalam Liga Institusi Seni Asia (ALIA).

Katanya berdasarkan rekod, lebih 98 peratus graduan Diploma dan Ijazah Sarjana Muda berjaya memasuki pasaran pekerjaan atau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti awam tempatan dan universiti tersohor di luar negara.

“Kejayaan dan penerimaan terhadap graduan ASWARA oleh sektor awam dan swasta ini membuktikan lulusan kita mendapat pengiktirafan serta perakuan dari aspek kemahiran, kebolehan, kemampuan serta keupayaan dalam aspek ‘soft skill’ (kemahiran insani) dan ‘hard skill’ (kemahiran fizikal) yang dipelajari di ASWARA,” katanya.

Sebanyak 153 graduan daripada lapan fakulti menerima Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, tiga graduan daripada Pusat Pengajian Pasca Siswazah menerima Ijazah Sarjana Seni kreatif. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com