Puteri UMNO Harap Hadiah Nobel Suu Kyi Ditarik Balik


KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO berharap agar hadiah Nobel Pendamaian yang pernah diberikan kepada tokoh Myanmar Aung San Suu Kyi ditarik balik.

Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, Suu Kyi langsung tidak memainkan peranan membantu menyelesaikan konflik etnik Rohingya beragama Islam di negara itu.

Malah, kata beliau, baru-baru ini berlaku pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingnya di Maungdaw dan kawasan sekitar Rakhine.

“Pergerakan Puteri UMNO Malaysia sangat kesal dengan tindakan Tentera Myammar yang menindas dan membunuh etnik Rohingya di Rakhine yang bermula sejak 9 Oktober lalu.

“Penggunaan salah kuasa terhadap etnik Rohingya khusunya kaum wanita dan kanak-kanak tidak boleh diterima dengan apa jua alasan sekali pun.

“Jelas penindasan ini sama sekali telah melanggar hak asasi manusia dan lebih memalukan bila pemenang hadiah Nobel Perdamaian Suu Kyi mengambil pendekatan berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Media pada 16 November lalu melaporkan sekumpulan 30 wanita dan kanak-kanak Rohingya dikurung dan dibakar hidup-hidup akibat kekejaman baharu tentera Myanmar.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di utara Maungdaw, memperlihatkan etnik Rohingya Islam dilayan tidak ubah seperti haiwan.


Blog RB News yang memetik kenyataan penduduk tempatan melaporkan, mangsa yang dikurung cuba melarikan diri namun gagal berbuat demikian.

Sementara itu, Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam terhadap etnik minoriti Rohingya

Aswaja turut menyatakan kekesalan pemenang anugerah Nobel keamanan yang juga ikon Myanmar, Suu Kyi merelakan etnik Rohingya dibunuh dengan kejam.

Suu Kyi antara tokoh hak asasi dan keadilan yang sering dipuji, dijulang dan diperkatakan oleh pemimpin pembangkang di Malaysia sebelum ini.

Isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sering dimomokkan sebagai "Suu Kyi" versi Malaysia ketika memperjuang nasib suaminya itu yang dikatakan telah dizalimi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com