Pusat Tarbiah Haraki An Nur Perlu RM1.5 Juta Bina Asrama

Emran menunjukkan tapak asrama baharu.
KUALA KETIL - Pusat Tarbiah Haraki An Nur di Kampung Carok Beras memerlukan bantuan dana berjumlah RM1.5 juta untuk membina Asrama Pintar tiga tingkat.

Setiausahanya, Emran Yunus berkata, asrama sedia ada tidak mampu lagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah.

Menurutnya, pusat itu ketika ini menampung keseluruhan pelajar berjumlah 46 orang, dengan dua asrama sedia ada.

“Sebuah asrama hanya mampu memuatkan 30 pelajar. Kita turut menyediakan asrama sementara, tetapi asrama itu dilihat tidak sesuai bagi menampung jumlah pelajar yang makin meningkat,” katanya, kelmarin.

Tambah Emran, Pusat Tarbiah Haraki An Nur yang mula beroperasi pada 2014, juga akan membuat pengambilan pelajar perempuan bagi memenuhi permintaan ibu bapa.

Susulan itu katanya, mereka menyasarkan asrama baharu itu akan dibina bermula hujung tahun ini.

“Kerja awal sudah dilakukan dengan meratakan tanah melibatkan kos RM7,000. Pihak sekolah juga sudah berbincang dengan kontraktor berdaftar supaya bangunan itu selamat dan sesuai untuk pelajar,” katanya.

Bagaimanapun, Emran berkata, kerja membina bangunan asrama itu sedikit terganggu dengan keadaan kewangan sekolah ketika ini, apabila sumbangan diperoleh bagi tujuan tersebut terpaksa dibahagikan dengan pengurusan sekolah.

“Pengurusan sekolah bergantung sepenuhnya kepada yuran pelajar dan sumbangan orang ramai, tapi yuran pelajar tidak mampu menampung sepenuhnya kos operasi termasuk membayar gaji guru, makan minum pelajar serta kos utiliti.

“Ini menyebabkan duit sumbangan pembangunan terpaksa dibahagikan dengan pengurusan sekolah bagi memastikan operasi terus berjalan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com