Puluhan Ribu Rakyat AS Protes Kemenangan Trump


Dinggarkan puluhan ribu penduduk mengadakan tunjuk perasaan jalanan di beberapa bandar raya Amerika Syarikat (AS) sebagai membantah kemenangan Donald Trump sebagai presiden, semalam.

Rata-rata daripada mereka menjerit slogan, ‘Bukan presiden saya!’, manakala ada juga penunjuk perasaan yang membakar patung berambut jingga persis gaya rambut ahli perniagaan hartanah terkenal itu.

Bakal Presiden AS ke-45 itu memperoleh kemenangan mengejut, sekali gus meranapkan cita-cita calon pilihan ramai, Hillary Clinton untuk menjadi presiden wanita yang pertama negara tersebut.

Trump juga bakal bertemu dengan Presiden Barack Obama di Rumah Putih bagi mengadakan perbincangan yang bertujuan untuk memastikan proses peralihan tampuk pemerintahan berjalan dengan lancar.


Obama – yang menyifatkan Trump sebagai ‘tidak layak’ untuk jawatan presiden selain berkempen untuk menentang beliau – telah menggesa semua rakyat AS untuk menerima keputusan pilihan raya semalam.

“Kini, kami semua mendoakan kejayaan beliau dalam menyatukan dan memimpin negara,” kata beliau yang melakar sejarah sebagai presiden yang pertama dari kalangan kulit hitam.

Clinton juga menggesa penyokongnya agar memberi Trump ‘peluang untuk memerintah’.

Meskipun pemimpin Parti Demokrat itu telah akur dan menyatakan sokongannya, namun penunjuk perasaan tetap berkumpul untuk menentang keputusan tersebut di beberapa kota besar di seluruh negara.


Di NEW YORK, beribu-ribu ahli protes berarak ke Menara Trump, menyuarakan tentangan mereka terhadap dasar Trump mengenai imigresen, hak golongan gay dan hak reproduktif.

Lima belas orang telah ditangkap, lapor akhbar New York Times. Polis sebelum ini mendirikan penghadang konkrit dan langkah-langkah keselamatan lain di luar bangunan pencakar langit di 5th Avenue.

Ia dikatakan mungkin akan menjadi ibu pejabat Trump semasa tempoh pemerintahannya.

Di LOS ANGELES, perhimpunan kumpulan anti-Trump telah membanjiri kawasan bandar terbesar California itu sehingga mengakibatkan lebuh raya utama berhampiran terpaksa ditutup, menurut media tempatan.

Di CHICAGO, orang ramai menyekat pintu masuk ke Menara Trump, sambil melaungkan: “Bukan presiden saya! Tidak kepada Trump, tidak kepada KKK (Klu Klux Klan), tidak kepada Fasis USA.”

Sementara itu, bendera AS telah dibakar semasa beberapa bantahan di Portland, Oregon. Demonstrasi juga berlaku di Philadelphia, Boston, Seattle dan San Francisco, lapor BBC News. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com