Puak Orang Asli Temiar Diberi Kata Dua


PETALING JAYA – Jabatan Perhutanan Kelantan memberi kata dua kepada puak orang asli Temiar untuk menghentikan sekatan di Gua Musang selepas konflik tersebut berlanjutan selama lebih lima minggu.

Menerusi notis yang bertarikh 6 November 2016, jabatan terbabit mengeluarkan arahan kepada kumpulan aktivis yang menyokong puak Temiar agar mengosongkan kawasan sekatan dalam tempoh dua minggu.

Amaran turut diberikan kepada individu yang terlibat dalam bantahan itu dengan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan mengikut Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara (Pindaan 1993).

“Sehubungaan itu, tuan/puan diberikan tempoh 14 hari untuk mengosongkan premis (kawasan) dan aktiviti di Bahagian 245 di kawasan hutan simpan Balah,” jelas notis itu.

Tempoh notis berkenaan akan tamat pada 20 November ini dan sekiranya orang asli tidak mengikut arahan tersebut, Jabatan Perhutanan akan bertindak memusnahkan sekatan itu.

Notis itu bukan sahaja meminta kumpulan orang asli itu mengosongkan kawasan sekatan tetapi mana-mana hutan simpan kekal di Kelantan tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan Kelantan.

“Jabatan Perhutanan Kelantan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerosakan atau kerugian harta ketika operasi merobohkan sekatan dijalankan dan tiada ganti rugi akan diberikan,” jelas notis itu.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam sekatan itu memandangkan jabatan berkenaan tidak mengendahkan pergerakan keluar masuk orang asli di kawasan hutan simpan walaupun mereka tidak memiliki surat kebenaran.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com