PU Faiz Didakwa Cederakan Penceramah Wanita


PETALING JAYA – Naib juara program Pencetus Ummah musim kedua, Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mencederakan seorang penceramah wanita.

Ahmad Faiz, 27, atau lebih dikenali sebagai PU Faiz mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Dia didakwa mencederakan Nurul Intan Sakinah Azmi, 29, di Tahfiz Pondok Rumi Sufi Jawi, No 14-3, Tingkat 2, Jalan Pekaka 8/4, Kota Damansara, di sini pada 2.30 petang, 26 September lalu.

Ahmad Faiz yang juga seorang penceramah bebas didakwa mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum empat tahun atau denda sehingga RM4,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sapphira Selamat tidak menawarkan sebarang jaminan manakala peguam Ridha Abdah Subri memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sepanjang siasatan kes itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Dis untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com