Projek RM48 Juta: Pengarah Agensi Kerajaan Ditahan Semula


PETALING JAYA - Seorang pengarah sebuah agensi kerajaan persekutuan di Labuan telah ditahan semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan satu lagi kes lain.

Suspek berusia 59 tahun itu ditahan pada minggu lalu atas dakwaan rasuah membabitkan pembinaan sebuah medan selera bernilai RM12 juta di Tg Purun, Labuan.

Tempoh remannya berakhir pada Isnin dan dia kini ditahan semula pada Selasa berhubung siasatan ke atas projek bangunan dan infrastruktur bernilai RM48 juta di Labuan.

Pendaftar mahkamah majistret Labuan, Haizah Tamin membenarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap pengarah tersebut pada Selasa.

Setakat ini, SPRM telah mengambil keterangan daripada 17 saksi.

Dua daripada mereka adalah penjawat awam manakala selebihnya adalah kakitangan dari beberapa syarikat dan kontraktor.

Sumber berkata, tiada sebarang tangkapan atau rampasan aset dan harta dilakukan.

Penyiasat masih meneliti dokumen dan bukti lain untuk menentukan jumlah kontrak dalam projek tersebut sejak pengarah itu mengambil alih pentadbiran di jabatan berkenaan kira-kira dua tahun lalu.

Dua kontraktor berusia dalam lingkungan 40-an yang ditahan bersama pengarah itu sebelum ini untuk membantu siasatan siasatan projek medan selera telah dibebaskan.

Pengarah itu dikatakan meminta RM100,000 daripada kontraktor tersebut sebagai wang sogokan agar mereka dianugerahkan projek tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan pengarah itu ditahan semula berhubung kes yang sedang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menawar dan menerima rasuah.

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com