"Prinsip Berpuluh Tahun Musnah Dalam Masa Sehari Sahaja"


KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan melahirkan rasa sedih di atas pembabitan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke lapangan Bersih 5 kelmarin.

Ujarnya, adalah amat mendukacitakan apabila individu berstatus negarawan sanggup bersekongkol dengan pihak yang cuba menghancurkan negara apatah lagi merestui campur tangan asing.

"Amat malang seorang yang cukup tegas menolak demonstrasi haram sebelum ini, akhirnya sanggup menggadai prinsip perjuangan yang dipegang berpuluh tahun musnah dalam masa sehari hanya kerana dendam terhadap perdana menteri.

"Lebih malang lagi seorang negarawan sanggup bersekongkol dengan pihak yang menolak Islam dan menyokong LGBT," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, sukar untuk memahami prinsip perjuangan Mahathir yang sanggup bersama Bersih.

"Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau menentang sebarang rusuhan, menolak campur tangan asing, namun, sayangnya hari ini semuanya direlakan kerana kepentingan peribadi.

"Apakah sistem pilihan raya negara sudah tidak berguna lagi, apakah  Mahathir mahu kerajaan dibentuk melalui rusuhan," katanya.

Menggulas lanjut, Sohaimi berkata, apakah Mahathir tidak melihat apa yang berlaku di Mesir misalnya.

"Hanya kerana rusuhan bagi menumbangkan sebuah kerajaan, sampai ke hari ini suasana politik di negara itu tidak aman. Apakah beliau ingin Malaysia juga menjadi sedemikian rupa?," katanya lagi.

Terdahulu, himpunan semalam menyaksikan kehadiran Mahathir yang pada awalnya dilaporkan tidak akan hadir  namun membuat kejutan apabila hadir bersama anaknya Datuk Seri Mukhriz, dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

  1. Kita skrg bukan setakat sedih, tetapi benci dgn org2 yg menyokong dan melindungi penyamun.

    ReplyDelete

| Copyright © 2013 KedahNews.com