Pra #BajetKedah2017: Kedah Optimis KXP Dilaksana


SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri Kedah masih menaruh harapan berhubung cadangan bagi melaksanakan projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) walaupun ia tidak tersenarai di dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, mungkin belum tiba masanya untuk cadangan projek KXP dilaksanakan.

“Dari segi pembangunan lapangan terbang baharu, KXP, walaupun kita berharap supaya dimasukkan dalam Bajet 2017 tetapi tidak dimasukkan, pada saya mungkin ia masih terlalu awal (untuk dilaksanakan).

“Bagaimanapun, kita masih berhubung dengan Kementerian Pengangkutan dan kementerian lain yang berkaitan, bahkan pada dasarnya semua pihak bersetuju supaya lapangan terbang ini diwujudkan di atas tapak yang kita cadangkan kerana ia akan membawa pembangunan kepada bukan sahaja Kedah tetapi juga negeri lain di kawasan utara Semenanjung Malaysia,” katanya selepas merasmikan projek perumahan Bukit Banyan Hillpark di sini, hari ini.

Tambahnya, persoalan mengenai dana untuk pembinaan KXP tidak menjadi masalah memandangkan banyak pelabur yang menunjukkan minat untuk melabur dalam projek berkenaan.

“Soal duit, saya tidak bimbang, sebab sumber kewangan bukan semestinya daripada kerajaan, mungkin juga swasta sebab sudah ada syarikat swasta yang berminat untuk melabur dalam projek itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Bashah berkata, Kerajaan Persekutuan turut diminta mempercepatkan pelaksanaan sistem caj jalan raya (RC) ke atas kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki negara ini menerusi sempadan Thailand, susulan semakin banyak yang menggunakan laluan itu untuk keluar dan masuk ke negara ini.

“Kita pun dah berhasrat lama apabila kita tengok banyak kenderaan yang masuk dan sekurang-kurangnya kita dapat sedikit sumber kewangan, untuk kerja menaik taraf kemudahan dalam negeri.

“Jadi kalau itu keputusan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan, kita mengalu-alukan dan apa yang boleh kita bantu, kita bantu dan kita harap perkara ini boleh dilaksanakan kalau boleh secepatnya, walaupun dikatakan hujung tahun depan pelaksanaannya, tetapi kalau boleh awal atau pertengahan tahun hadapan lagi bagus,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, mengumumkan bakal memperluaskan pelaksanaan bayaran RC kepada semua kenderaan persendirian dengan nombor pendaftaran asing yang memasuki Malaysia menerusi sempadan Thailand selewat-lewatnya akhir tahun depan.

Melalui pelaksanaan sistem itu, ia dapat meningkatkan kawalan keselamatan dan mengekang jenayah antara sempadan kerana setiap kereta dengan nombor pendaftaran asing akan didaftarkan dalam sistem komputer. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com