Polisi Pengajian Tinggi Negara Kekal – Idris Jusoh


BESUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membuat kajian terperinci terlebih dahulu terhadap polisi pengajian tinggi negara sekiranya polisi pendidikan di Amerika Syarikat berubah berikutan perubahan kepimpinan negara itu.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pada masa kini polisi pengajian tinggi akan diteruskan dan para pelajar boleh meneruskan pengajian sebagaimana biasa.

“Setakat ini tiada perubahan terhadap dasar pendidikan dengan negara itu dan ianya berjalan seperti biasa dengan tiada sebarang perubahan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah komuniti yang ke-56 kepada Wan Malik Wan Hassan, 43 di Kampung Lay Out Tok Has di sini semalam.

Idris berkata demikian ketika mengulas kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baharu dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.

Trump sebelum ini ketika kempen pilihan raya di negara itu banyak mengeluarkan kenyataan kontroversi dan bersifat anti-Islam dan rasis seperti akan menghalang umat Islam dari memasuki negara itu.

Idris dalam pada itu turut mengulas mengenai Rumah Komuniti yang ke-59 itu, yang dibina menggunakan teknologi terbaharu dari Perancis iaitu HyperBim yang mana rumah itu mampu disiapkan dalam masa sembilan hari sahaja.

Menurutnya, sistem HyperBim ialah satu inovasi dalam pembinaan rumah melalui kombinasi kerangka aluminium dan teknologi konkrit.

“Dengan menggunakan simen khas yang dituangkan melalui 300 acuan kerangka mmbolehkan rumah didirikan hanya dalam masa lima hari tidak termasuk menyimen dan mengecat untuk empat hari lagi”, kata Idris lagi.

Katanya, rumah yang dibina dengan bantuan dua pensyarah dan enam pelajar dari Kolej Komuniti Sabak Bernam, Selangor itu setakat ini merupakan Rumah Komuniti yang terbaik dibina untuk penduduk miskin di Besut.

Pada hari ini selain di Kampung Lay Out Tok Has, sebanyak lima buah rumah Komuniti lagi diagihkan kepada penduduk miskin membabitkan tiap sebuah di Kampung Pangkalan Atap, Kuala Besut; Kampung Pak Wong; Kampung Panchor, Hulu Besut; Kampung Pengkalan Nyireh dan Kampung Alor Intang, Besut.

Turut hadir di majlis penyerahan itu Ketua Pengarah Kolej Komuniti Datuk Amir Md Noor dan Pengarah Kolej Komuniti Sabak Bernam Yusof Paal. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com