Polis, SKMM Bekerjasama Banteras Laman Web Iklan Khidmat Seks


KUALA LUMPUR - Kewujudan sebuah laman web yang mengiklankan perkhidmatan dan jualan barangan, dikesan turut menyelitkan iklan khidmat seks kepada komuniti di negara ini, perlu segera disekat.

Tinjauan Bernama di laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu mendapati ia mengandungi puluhan ribu gambar lucah termasuk melibatkan warga tempatan yang dapat diakses dengan mudah.

Menerusi laman web itu, para pengiklan seks didapati memuat naik gambar termasuk gambar bogel dengan pelbagai aksi dipercayai untuk menarik pelanggan serta turut memberi maklumat peribadi termasuk nombor telefon dan alamat e-mel untuk dihubungi.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Wikipedia, laman web berkenaan mula bertapak di Amerika Syarikat dan dipercayai sudah beroperasi kira-kira 20 tahun.

Ia mempunyai lebih 200 juta anggota komuniti di seluruh dunia.

Laman web itu turut menyenaraikan pelbagai kategori pilihan iklan seks seperti wanita mencari wanita, wanita mencari lelaki, lelaki mencari wanita, lelaki mencari lelaki atau percintaan pelbagai jenis.

Seorang pengguna internet yang hanya mahu dikenali sebagai Fariz berkata, dia tidak pernah menjumpai mana-mana laman web yang menawarkan perkhidmatan jual beli barangan yang menyelitkan tawaran perkhidmatan seks termasuk hubungan sejenis.

"Pertama kali saya membuka laman web itu, saya terkejut melihat satu ruangan di laman web tersebut menawarkan perkhidmatan hubungan seks sejenis. Ruangan tersebut mendapat permintaan tinggi daripada ahli berbanding perkhidmatan lain.

"Lebih mengejutkan, terdapat juga ahli yang sanggup memuat naik gambar lucah dan bogel diri sendiri bagi mempromosikan diri. Perkara ini jarang terdapat di mana-mana laman web di internet," katanya kepada Bernama.

Fariz berkata pekerja seks di laman web itu boleh dihubungi melalui nombor telefon yang ditinggalkan pada iklan yang dilengkapi gambar lucah mereka serta maklumat diri untuk melanggan khidmat mereka.

Katanya kebebasan melayari laman web itu tanpa sekatan dikhuatiri akan  menyebabkan kegiatan tidak bermoral semakin berleluasa.

Menurut Fariz, kategori iklan seks dalam laman web berkenaan perlu disekat  bagi mengelak anggota masyarakat terutamanya golongan muda terjebak dalam aktiviti tidak sihat itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama berkata pihak polis akan menyiasat laman web berkenaan dan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membanteras laman web lucah di negara ini.

"Kami akan bekerjasama dengan SKMM untuk mengesan operator laman web ini," katanya.

Sementara itu, SKMM dalam kenyataan kepada Bernama berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak pentadbir laman sesawang itu untuk memastikan tiada pengiklanan perkhidmatan yang menyalahi undang-undang negara disiarkan di laman berkenaan.

"Langkah ini diambil bagi memastikan tidak ada individu yang terjerat dengan aktiviti yang tidak bermoral itu," menurut kenyataan SKMM.

Menurut kenyataan itu, SKMM akan meneliti terlebih dahulu inti pati kandungan laman web antarabangsa itu yang didakwa mengiklankan barangan dan turut mengambil peluang menawarkan khidmat seks di negara ini. -Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com