PKR Harap Pakatan Harapan Dasar Islam Agama Rasmi


KUALA LUMPUR – Seorang wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Pakatan Harapan yang diketuai DAP supaya menerima dasar Islam agama rasmi, mempertahan institusi raja dan bahasa Melayu bahasa kebangsaan untuk gabungan parti pembangkang itu.

Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), Aiman Athirah Al Jundi berkata, langkah itu sebagai usaha memujuk kaum Melayu menyokong Pakatan Harapan bagi menumbangkan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Beliau mendakwa, dasar yang pernah terkandung dalam Buku Jingga mengenai dasar Pakatan Rakyat sebelum ini tersebut bukan bersifat rasis.

“Kalau kita abaikan ketakutan pengundi Melayu, UMNO akan terus memimpin selepas PRU14. Agenda Melayu Islam itu bukan bersifat rasis. Harap tsunami orang Melayu melanda ke Putrajaya,” katanya pada Konvensyen Pakatan Harapan seperti dilaporkan sebuah portal berita semalam.

Pakatan Rakyat dibubarkan pada tahun lalu oleh DAP dan PKR bagi menyingkirkan PAS daripada gabungan parti pembangkang kerana PAS enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam.

Dasar Pakatan Harapan waktu itu tertakluk kepada Buku Jingga yang menggariskan aspek kerjasama diantara parti-parti pembangkang, namun ia sukar dipenuhi oleh ketiga-tiga parti yang berlainan ideologi.

Portal berita itu turut dilaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menghadiri konvensyen tersebut dan mendapat sorakan gemuruh peserta dengan laungan reformasi yang dipopularkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 bagi menumbangkan kerajaan waktu itu. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com