Piala AFF Suzuki: FAM Enggan Tunduk Desakan Tarik Diri

Hamidin pada sidang media khas berhubung isu memboikot piala AFF Suzuki 2016 di Yangon, Khamis. foto: BERNAMA
YANGON - Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan skuad Harimau Malaysia akan tetap meneruskan aksi terakhir Piala AFF Suzuki peringkat Kumpulan B menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini.

Beliau yang juga pengurus skuad kebangsaan turut meminta pemain kebangsaan untuk melupakan cadangan boikot tersebut dan terus fokus menghadapi aksi menentang Myanmar.

"Statut FAM, AFC dan FIFA menjelaskan bola sepak berkecuali daripada politik, agama, perkauman dan sebagainya dan kalau kita nak tarik diri, kita sepatutnya sudah berbuat demikian awal-awal lagi, bukannya sekarang kerana isu ini sudah lama berlaku.

"Kenapa FAM dan bola sepak menjadi mangsa pula untuk isu ini dan bukan melibatkan perkara lain? Isu ini sedikit sebanyak menjejaskan moral pemain skuad kebangsaan," kata Hamidin.

Pada Rabu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberitahu beliau akan membangkitkan semula isu tersebut pada mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Namun, katanya, pendirian KBS mengenai gesaan itu hanya akan diputuskan mengikut keputusan sebulat suara dalam Kabinet.

Hamidin bagaimanapun berharap mesyuarat Kabinet pada Jumaat yang akan membincangkan isu itu dapat mencapai satu keputusan positif mengenai cadangan memboikot kejohanan tersebut.

Khamis lalu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru pasukan negara menarik diri daripada Piala AFF Suzuki sebagai bantahan terhadap tindakan tentera Myanmar terhadap penduduk etnik Rohingnya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com