Permit Tidak Diberi Kerana Lokasi Tidak Digazet Di Bawah Akta Perhimpunan Aman


KUALA LUMPUR - Penganjur perhimpunan Bersih 5.0 dan kumpulan Baju Merah tidak dibenar mengadakan sebarang perhimpunan dan berdepan tindakan undang-undang jika berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu diambil kerana kerajaan tidak mahu berlaku pertembungan antara kedua-dua kumpulan berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata tempat perhimpunan yang dipohon penganjur Bersih atau kumpulan Baju Kuning, termasuk dalam senarai lokasi yang tidak diizinkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 walaupun notis mengadakan perhimpunan dipohon 10 hari sebelum acara berlangsung.

"Sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin (Abdul Aziz), DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak mengizinkan ia digunakan kerana tidak digazetkan dalam Akta Perhimpunan Aman.

"Oleh yang demikian, Polis Diraja Malaysia memutuskan keputusan DBKL itu harus dipatuhi dan saya nasihatkan kedua-dua kumpulan ini jangan buat sebarang perhimpunan sebagaimana yang telah saya nyatakan di Dewan Rakyat hari ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Perhimpunan kumpulan Baju Merah dirancang Sabtu ini di Dataran Merdeka manakala perhimpunan Bersih 5.0 pada 19 November.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada persidangan Dewan Rakyat, Ahmad Zahid berkata KDN tidak tidak mempunyai apa-apa hubungan atau menjanjikan sebarang perlindungan dengan mana-mana kumpulan baik Bersih atau Baju Merah.

Beliau menegaskan polis akan bertindak tegas terhadap kedua-dua kumpulan itu atas sebarang ketidakpatuhan undang-undang atau prosedur yang ditetapkan.

"Yang Berhormat Kinabatangan (Datuk Bung Moktar Radin) dan Yang Berhormat Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh) ada bertanya kepada saya sama ada KDN ada hubungan dengan kumpulan Baju Merah dan meminta jaminan adakah kumpulan Baju Merah akan menghentikan aktiviti (perhimpunan) mereka jika Bersih juga berbuat demikian.

"Di sini saya ingin tegaskan bahawa KDN tiada apa-apa hubungan, perlindungan atau sebarang janji dengan mana-mana kumpulan sama ada Bersih atau kumpulan Baju Merah," katanya.

Ahmad Zahid berkata sehingga Oktober lalu, 175 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung penganjuran Bersih 5.0.

Berdasarkan laporan polis berkenaan, beliau berkata siasatan dibuat berdasarkan kesalahan di bawah Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman atau undang-undang lain.

Ahmad Zahid berkata beberapa laporan lagi diterima mengenai ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos.

"Saya ingin menyatakan bahawa jika tidak ada kuning pasti tidak ada merah, jika tidak ada Maria Chin (pengerusi Bersih 2.0) pasti tidak ada Jamal Yunos.

"Jadi saya minta semua pihak merah atau kuning mencari platform terbaik untuk mencari penyelesaian berbanding mengadakan perhimpunan," katanya.

Dalam isu Bersih dan Baju Merah, beliau berkata KDN menggesa semua pihak menjunjung kedaulatan undang-undang seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang berkuat kuasa ketika ini.

"Kita tidak seharusnya bersandarkan dasar memperjuangkan sesuatu demi kepentingan negara atau untuk menegakkan keadilan, tetapi dalam masa yang sama kita sendiri mengingkari dan membelakangkan undang-undang yang digubal oleh Parlimen," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com