Peragut Maut, Rakan Patah Kaki Kiri Lepas Ragut Budak 11 Tahun

Gambar Hiasan
JOHOR BAHRU - Seorang peragut maut manakala seorang lagi rakannya patah kaki kiri akibat kemalangan selepas meragut telefon bimbit seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, dalam kejadian yang berlaku pada 5.15 petang itu, kedua-dua suspek telah mendatangi dua kanak-kanak yang sedang bermain dan berpura-pura bertanyakan jalan.

"Pembonceng motosikal bertanyakan arah jalan kepada seorang daripada kanak-kanak tersebut dan selepas kanak-kanak itu memberitahu arah jalan, suspek bertindak merampas telefon bimbit yang dipegang mangsa.

"Kejadian tersebut dilihat orang awam yang bertindak mengejar kedua-dua suspek berkenaan dan dalam usaha suspek melarikan diri, mereka telah melanggar sebuah kereta yang sedang keluar daripada persimpangan jalan EcoWorld Taman Kota Masai," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Tambahnya, akibat pelanggaran itu, pembonceng motosikal berusia 20 tahun mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian manakala rakannya - penunggang motosikal berusia 19 tahun mengalami patah kaki kiri.

"Hasil siasatan lanjut juga mendapati penunggang motosikal mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, manakala pembonceng tidak mempunyai apa-apa rekod," katanya.

Mayat pembonceng telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat sementara penunggang menerima rawatan di hospital sama dan ditahan untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com