Penyediaan Penyata Kewangan Kedah Baik - Laporan Ketua Audit Negara


ALOR SETAR - Secara umumnya tahap penyediaan dan penyerahan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan agensi negeri Kedah bagi tahun 2015 adalah baik, menurut Laporan Ketua Audit Negara.

Laporan bagi tahun 2015 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam menyebut kedudukan kewangan kerajaan negeri pada 31 Disember 2015 menunjukkan penurunan ketara berbanding 2014.

"Prestasi kewangan Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing adalah pada tahap baik.

"Prestasi pelaksanaan projek 2011 hingga 2015 pada akhir tahun 2015 adalah baik kerana peratus projek siap adalah 93.9 peratus," menurut laporan berkenaan.

Kerajaan negeri bagaimanapun disarankan meneruskan usaha menambahkan hasil pendapatan melalui sumber, mengamalkan perbelanjaan berhemat, mengurangkan tunggakan hasil/Pinjaman Boleh Dituntut dan membuat bayaran balik pinjaman/hutang lain mengikut jadual.

"Ini bagi membolehkan kedudukan kewangan kerajaan negeri berada dalam keadaan kukuh dan selain itu tadbir urus Tabung Akaun Amanah perlu dipertingkatkan supaya ia sejajar dengan objektif utama penubuhan tabung berkenaan," kata laporan itu.

Laporan itu turut menyarankan ketua jabatan/ketua agensi perlu mempertingkatkan penglibatan secara langsung dalam urusan kewangan.

Selain itu ketua jabatan/ketua agensi perlu mewujudkan sistem semak dan imbang, mengadakan pemantauan berterusan, pemeriksaan mengejut dan penilaian secara berkala terhadap kerja yang dilaksanakan oleh  pegawai termasuk memberikan latihan untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan pegawai.

"Jabatan/agensi perlu mempertingkatkan keberkesanan fungsi Unit Audit Dalam (UAD)," katanya.

Laporan itu menyebut antaranya memastikan anggota UAD mendapat latihan dan bimbingan yang secukupnya, menyediakan perancangan audit tahunan supaya pengauditan dapat dilaksanakan mengikut keutamaan, membuat  penilaian secara objektif dan bebas bukan sahaja berkaitan aspek kawalan dalaman malahan pengurusan risiko dan tadbir urus organisasi, melaporkan penemuan yang signifikan serta mengesyorkan cadangan yang memberi impak kepada organisasi. – Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com