Penyanyi, Komposer Popular 1990-an Arab Meninggal Dunia


DUNIA seni kehilangan insan berbakat apabila penyanyi dan komposer, Syed Azlan Syed Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Arab menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.30 pagi Sabtu.

Allahyarham yang berusia 50 tahun meninggal dunia akibat komplikasi jantung di sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan.

Perkara tersebut bagaimanapun dikongsikan melalui status Facebook oleh sepupunya, Khairul Faizi Ahmad Kamil kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

“Mendapat perkhabaran duka kembalinya ke Rahmatullah sepupu saya, Syed Azlan @ Arab pagi ini,” tulisnya.

Allahyarham dikatakan mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan pulang dari Johor, awal pagi tadi dan dikejarkan ke klinik berdekatan sebelum menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital.

Difahamkan, arwah tidak pernah terkena serangan jantung dan pemergiannya adalah suatu yang cukup mengejutkan pelbagai pihak.

Arab sinonim dengan kumpulan duo, Arab dan Aidit yang terkenal menerusi lagu Bila Bulan Berwarna Biru dan pernah menjadi vokalis kumpulan Lefthanded untuk album Nafas.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Labis, Johor selepas solat Asar semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Marina Abdul Manap dan tiga orang anak. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com