Penubuhan Lajnah Tahqiq Hadith Bendung Hadis Palsu - TPM


PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis (Lajnah Tahqiq Hadith) yang menyediakan pandu arah bagi mengekang penyebaran hadis palsu dalam masyarakat khususnya dalam penerbitan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jawatankuasa yang disertai tujuh ahli akademik dengan kepakaran khusus dalam ilmu hadis itu bakal menjadi pusat rujukan dalam menentukan taraf dan kesahihan sesuatu hadis, seterusnya memartabatkannya sebagai sumber hukum kedua selepas al-Quran.

“Kemunculan hadis palsu jika tidak dibendung akan memberi kesan yang besar kepada agama Islam di negara ini,” katanya pada majlis penubuhan Lajnah Tahqiq Hadith, di sini semalam.

Menjadikan perpecahan yang berlaku di beberapa negara Islam lain sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata penyebaran hadis palsu telah mendatangkan beberapa implikasi buruk termasuk menghalalkan pembunuhan sesama umat.

“Apabila kumpulan yang berpegang kepada hadis palsu mempunyai pengikut yang ekstrem, mereka akan mentafsirkan hadis mengikut kepentingan sendiri sehingga mendorong terlibat dalam kegiatan (militan) Daesh,” katanya.

Ahmad Zahid berkata jawatankuasa tersebut juga akan memberi perhatian terhadap pentafsiran atau syarahan hadis sahih yang apabila ditafsir dan diolah mengikut pemahaman yang salah.

“Keadaan ini, jika berlaku akan membawa kesan yang buruk sehingga membawa penyelewengan kepada hadis dan boleh menjejaskan keharmonian, ketenteraman awam serta keselamatan negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata penubuhan jawatankuasa itu bukan merupakan campur tangan dalam urusan agama yang kini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) tetapi untuk menjalankan penguatkuasaan dari aspek perundangan.

“Kita komited untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mengelak perpecahan dalam kalangan umat Islam akibat penyebaran hadis palsu dan dalam hal ini. KDN melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya memainkan peranan untuk menjalankan kuasa dari perundangan Islam yang diperuntukkan kepada dua agensi itu,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyerahkan sijil pelantikan kepada tujuh anggota panel Lajnah Tahqiq Hadith diketuainya oleh pengerusinya Dr. Abdul Hayei Abdul Sukor, iaitu bekas dekan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM).

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Percetakan Teks Al-Quran (LPPPQ) KDN, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com