Penjaga Kaunter Spa Didakwa Perdagang Manusia Untuk Eksploitasi Seks


KUALA LUMPUR – Seorang penjaga kaunter spa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memperdagangkan dua beradik warga Indonesia untuk eksploitasi seks.

Lor Weng Thye, 35, mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Lor bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah memperdagangkan dua orang wanita yang berusia 22 dan 24 tahun, bagi maksud eksploitasi seks.

Dia dituduh di bawah Seksyen 12 Antipemerdagangan Orang 2007 (ATIP) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda.

Lor didakwa melakukan kesalahan itu di Milennium Club & Spa, Jalan 5/101C, Off Jalan Kaskas, Cheras, di sini pada 3 petang, 21 Sept lalu.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam. Lor tidak diwakili peguam.

Azura membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Nov untuk sebutan kes serta 23 Dis depan sebagai tarikh bicara. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com